Walaupun kehilangan kaki sebelah kiri namun Akhmar tabah menghadapi dugaan.
KUALA LIPIS - Kejadian malang yang menimpa Akhmar Abdul Hamid, 52, masih segar dalam ingatan apabila dia terpaksa redha dengan kehilangan kaki kirinya akibat terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika itu.
“Ia berlaku terlalu pantas dan ketika sedar saya sudah berada di bawah treler manakala bahagian kaki terasa pedih.
Demikian kata Akhmar ketika menceritakan detik awal kejadian kemalangan jalan raya yang menimpanya.
Menurutnya, ketika kejadian dia menunggang motosikal dari Bandar Kuala Lipis untuk pulang ke rumahnya di Kampung Batu Sembilan.
“Sampai di Kuala Lanar, tiba-tiba pandangan saya menjadi gelap dan menyebabkan motosikal yang saya tunggang melanggar bahagian belakang sebuah pacuan empat roda.
“Akibat pelanggaran terbabit saya tercampak ke kanan jalan dan dalam masa yang sama sebuah lori treler yang datang dari arah bertentangan tidak sempat mengelak dan menggilis kaki saya,” katanya.
Akhmar yang mempunyai enam cahaya mata berkata, akibat kejadian itu, dia mengalami kecederaan parah dengan kaki kiri pada bahagian betis ke bawah hancur.
"Saya sedih apabila memikirkan bahawa saya tidak dapat lagi berjalan seperti dulu setelah kehilangan kaki ini. Namun saya reda dengan ujian besar ini,” katanya.
Akhmar berkata, walaupun kini fizikalnya tidak lagi sempurna namun dia bersyukur kerana masih diberi kepercayaan untuk memegang jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Batu Sembilan.
“Syukur kerana masih ada pihak yang masih mempercayai saya dalam menjalankan tugas sebagai ketua kampung walaupun terpaksa hadkan pergerakan,” katanya.
0 comments:
Post a Comment