Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, July 7, 2014

KURANG UPAYA SELEPAS DEMAM PANAS


Mohamed Sohaimi (kanan) melihat keadaan adik Nor Ansyutirah Nasuha selepas menyerahkan kerusi roda.

Kuantan - Seorang kanak-kanak di Felda Bukit Goh di sini mengalami keadaan kurang upaya selepas demam panas ketika usia enam bulan.

Ibunya, Norazi-zah Adam, 36, berkata, Nor Ansyutirah Nasuha Nor Apian, 10, dalam keadaan lemah dan panas semasa mengambilnya dari rumah pengasuh.

“Sebulan dia ditahan di wad kerana mengalami sawan dan panas berpanjangan. Selepas itu saya lihat tumbesarannya tidak normal, malah penglihatannya juga terganggu kerana mengalami sawan yang teruk dan doktor sahkan dia mengalami masalah kesihatan pelbagai.

“Keadaan dia sekarang tidak banyak berubah tapi saya dan suami, Nor Apian Mat Said, 38, berusaha untuk melihat dia sekurang-kurangnya boleh berjalan,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan kerusi roda oleh Adun Sungai Lembing, Datuk Mohamed Sohaimi Md Shah.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Bukit Goh, Mat Zahari Deraman.

Norazizah berkata, ketika usia Nor Ansyutirah Nasuha berusia empat tahun, dia mendaftarkan anaknya di Pusat Dalam Komuniti (PDK) di Balok namun selepas berhenti kerja dan berpindah ke Felda tersebut, dia sukar untuk berbuat demikian.

Katanya, sebelum ini, dia pernah berulang-alik ke PDK di Felda Neram namun faktor jarak yang jauh menyebabkan dia tidak dapat meneruskannya.

Tambahnya, kesulitan itu menyebabkan anaknya tidak mendapat bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana tidak hadir ke PDK.

Menurutnya, dia dimaklumkan, bantuan tersebut hanya akan diberikan sekiranya dia hadir ke PDK untuk mengikuti sesi pembelajaran dan terapi.

“Kami cuba buat terapi di rumah selain menjalani rawatan susulan di hospital. Setakat ini, dia boleh berjalan namun secara perlahan-lahan, selebihnya dia akan mengengsot. Kalau bercakap pun hanya satu dua perkataan sahaja boleh disebut seperti ‘Abah’ dan ‘Ma’.

“Sebagai ibu, pastinya saya mahu tengok dia sembuh walaupun doktor tidak memberi jaminan kerana ia mengambil masa yang lama untuk kembali normal,” katanya.

Norazizah yang menjadi surirumah sepenuh masa kini berterima kasih atas sumbangan kerusi roda bagi memudahkan pergerakan anaknya.

Sementara itu, Mohamed Sohaimi berkata, selain kerusi roda, pihaknya akan membuat semakan mengenai bantuan lain yang boleh diberikan kepada kanak-kanak itu.

0 comments:

share2