Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, July 5, 2014

DUIT RAYA KEPADA PEKERJA SWASTA?

Kuala Lumpur - Langkah kerajaan memberi bonus raya kepada penjawat awam disambut baik oleh pelbagai pihak.

Namun wujud pertanyaan atau permintaan yang mahu kerajaan tidak mengetepikan keperluan insentif kepada pekerja di sektor swasta.

Biro Pekerja Muda tampil dengan cadangan supaya kerajaan menukar Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada Duit Raya 1Malaysia (DR1M) yang diberikan pada musim perayaan.

Pengerusinya, Dazma Shah Daud berpendapat pemberian insentif ketika musim perayaan mampu meringankan beban golongan pendapatan rendah dan sederhana dalam membuat persiapan untuk keluarga mereka.

“Mungkin kerajaan boleh mengkaji cadangan agar insentif BR1M ditukar menjadi DR1M bagi mengimbangi keperluan perbelanjaan persiapan hari raya untuk golongan pendapatan rendah dan sederhana dalam kalangan pekerja sektor swasta.

“Dalam masa sama kerajaan masih boleh meneruskan bonus raya khas untuk penjawat awam seperti sekarang ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pengumuman kerajaan yang memberikan bonus raya RM500 kepada penjawat awam Gred 1 hingga 54 bermula 15 Julai ini.

Menurut Dazma, pemberian DR1M ini juga mampu menjana ekonomi negara apabila penerimanya akan membelanjakan bantuan itu untuk membeli persiapan hari raya.

“Saya percaya setiap ringgit yang diberikan kerajaan kepada golongan pekerja swasta akan dibelanjakan untuk beli baju, kasut atau kelengkapan menyambut raya, jadi wang itu akan mengalir dalam pasaran negara dan seterusnya merancakkan pertumbuhan ekonomi,” katanya.

Beliau juga percaya, pemberian insentif perayaan kepada pekerja swasta akan menangkis tuduhan dan fitnah yang dilemparkan kepada kerajaan kononnya menggadaikan golongan bekerja sebagai kumpulan pembayar cukai.

“Sesetengah pihak terutamanya pembangkang sentiasa mencari peluang dalam memanipulasi apa pun usaha kerajaan membantu rakyat.

“Jadi dengan pemberian DR1M ini akan menunjukkan kerajaan prihatin kerana bantuan diberikan sama rata seperti BR1M,” katanya.
 

0 comments:

share2