Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, July 2, 2014

DOLLAH MEMADAI SEBAGAI JURULATIH HARIMAU MALAYA


Khairy Jamaludin Abu Bakar

PRESTASI sekarang sudah memadai buat skuad Harimau Malaya dibimbing oleh jurulatih tempatan, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata demikian ketika mengulas keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) melantik Dollah Salleh sebagai ketua jurulatih kebangsaan yang bermula pada 28 Jun lepas bagi menggantikan Datuk K.Rajagobal yang tidak disambung kontraknya akhir tahun lalu.

Sebelum ini, FAM turut menyenaraikan dua jurulatih asing kelahiran Jerman, Gert Engels dan Wolfgang Sidka sebagai antara tiga calon akhir bagi jawatan itu yang kosong sejak 31 Disember lepas.

Khairy berkata beliau kurang bersetuju dengan cadangan FAM sebelum ini untuk menguna khidmat jurulatih luar negara kerana ia membabitkan perbelanjaan yang besar.

"Saya menaruh harapan yang tinggi kepada skuad kebangsaan selepas ini dan berharap Dollah dapat merangka persiapan baik bagi menghadapi beberapa cabaran selepas ini seperti Piala AFF Suzuki 2014 di Singapura dan Vietnam pada akhir tahun ini," katanya kepada pemberita pada majlis penyampaian Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil semalam.

Pengendali pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu diberi tempoh kontrak selama dua tahun untuk membimbing skuad kebangsaan.

Sementara itu, Khairy berkata walaupun skuad badminton negara gagal merangkul pingat emas pada cabaran Piala Thomas 2014 di New Delhi, India pada 25 Mei lalu, MSN tetap memberi ganjaran Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) kepada atlet dan pegawai kerana menduduki tempat kedua.

"Diharap dengan ganjaran tersebut dapat menyuntik semangat kepada atlet untuk terus berjuang pada dua cabaran besar iaitu Temasya Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland dijadualkan berlangsung pada 23 Julai hingga 3 Ogos dan Temasya Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan pada 19 September hingga 4 Oktober nanti," katanya.

Beliau berkata seharusnya mencontohi negara Jepun dalam perkara ini biarpun mereka bukanlah negara besar dalam sukan badminton namun mampu meraih gelaran juara Piala Thomas 2014 apabila menewaskan Malaysia 3-2.

Skuad Piala Thomas negara dibarisi Datuk Lee Chong Wei, Chong Wei Feng, Liew Darren, Goh Soon Huat, Tang Boon Heong, Hoo Thien How, Tan Wee Kiong, Goh V Shem, Lim Khim Wah dan Chan Peng Soon masing-masing menerima ganjaran RM8,000.

Jurulatih dan pegawai sokongan menerima ganjaran sebanyak RM16,000 di bawah Skim Galakan Jurulatih (SGAR), manakala Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menerima RM8,000 di bawah Skim Kecemerlangan Pengurusan Sukan (Sikap).

1 comments:

  • zool says:
    July 2, 2014 at 10:47 AM

    Mohon numpang promosi disini, mana-mana ghodong atau belia nak masuk Kolej Komuniti Temerloh dalam bidang Rekabentuk Perabot( lepasan SPM) , bolehlah kontek kat no koi ni 0195233829 atau 0122723104...kalau ada bakat dalam bolasepak atau futsal, boleh mewakili Kolej Komuniti Temerloh dalam sukan IPT

share2