Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, June 23, 2014

PENDUDUK DIANCAM BANJIR LEBIH BESAR



KUANTAN - Kira-kira 100 penduduk di perkampungan Bukit Rangin, di sini berdepan masalah banjir lebih besar berikutan tindakan pemaju membina benteng dan sistem perparitan tanpa mendapat kebenaran dan kelulusan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK).

Penduduk juga mendakwa pemaju ‘merampas’ tanah 13 penduduk seluas hampir 10 meter persegi untuk membina benteng dan saluran parit.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Penduduk Kampung Bukit Rangin, Mohd. Faizal Ibrahim, 39, berkata, perkampungan itu dilanda banjir saban tahun dan ia menjadi lebih teruk sejak perumahan baharu yang dibina awal tahun lalu.

Menurutnya, pembinaan benteng dan parit itu menjadikan kawasan perumahan baharu bersebelahan kampung itu lebih tinggi dan kawasan rendah lebih terdedah kepada ancaman banjir.

“Banjir besar yang melanda negeri ini pada penghujung tahun lalu sudah menenggelamkan kampung ini, jadi perkara ini perlu diberi perhatian,” katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.

Bagi Sidek Sulung, 57, pula mahu masalah tersebut diberi perhatian MPK kerana pihak berkuasa tempatan itu menjadi agensi yang bertanggungjawab meluluskan perancangan projek taman baharu itu.

“Tindakan pemaju menggunakan tanah orang kampung secara sesuka hati boleh dielakkan jika pemantauan lebih kerap dibuat MPK,” katanya.

Adun Panching, Datuk Mohd. Zaili Besar mendapati pemaju gagal mematuhi syarat yang diluluskan MPK mengikut pelan asal.

“Saya sudah arahkan MPK mengeluarkan surat amaran kepada pemaju supaya segera baiki segala masalah yang berbangkit,” katanya.



0 comments:

share2