Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, June 23, 2014

'BARU BERNIAGA', ALASAN ELAK DISAMAN



JERANTUT - 'Tolonglah jangan saman kami, kami baru berniaga.' Itu alasan yang diberi oleh peniaga di tapak Ekspo Perniagaan di bandar Jerantut dalam satu pemeriksaan tidak meletakkan tanda harga pada barangan yang dijual.

Dalam operasi mengejut yang dilakukan Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) cawangan Jerantut telah mengeluarkan kompaun RM100 kepada seramai 18 peniaga yang menjual baju T palsu bercetak Piala Dunia dan tidak meletakkan tanda harga pada operasi di tapak Ekspo Perniagaan Bandar Baru Inderapura.

Ketua KPDNKK cawangan Jerantut, Che Hanafi Mamat, berkata peniaga berkenaan merupakan dalam kalangan 51 gerai di tapak ekspo berkenaan yang diperiksa berikutan laporan orang ramai dan juga pemantauan Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna di sini.

“Semasa pemeriksaan ini, kesalahan yang dikesan apabila peniaga tidak meletakkan tanda harga di bawah Peraturan 3(1) 1993.

“Kita tidak boleh menerima alasan tidak tahu langsung kerana baharu berniaga seperti yang didakwa oleh peniaga berkenaan kerana ini merupakan taktik yang biasa untuk melepaskan diri mereka dari dikompaun sedangkan kerajaan telah memaklumkan perkara ini menerusi laman sesawang, brosur dan media sendiri,” katanya di Bandar Baru Inderapura, di sini kelmarin.

Hadir sama, Penghulu Mukim Tembeling Tengah, Zulkefly Zaadun Zabir yang mengetuai ahli jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna Jerantut.

Che Hanafi berkata, kes membabitkan tidak meletakkan tanda harga atau senarai harga barang termasuk barang tiruan memberi impak kesukaran dalam kalangan pengguna untuk membanding beza harga dan kerap terkeliru, sekali gus tertipu dengan harga yang berubah-ubah.

“Pemantauan secara kerap ini juga memberi ingatan kepada peniaga agar tidak memanipulasikan harga barang terutamanya pakaian dan barang runcit menjelang bulan Ramadan tidak lama lagi di samping senario harga barang yang meningkat,” katanya.

Che Hanafi berkata, operasi lebih kerap juga akan dilakukan bukan sahaja mengenai tanda harga tetapi juga mengenai kesahihan peralatan timbang dan sukat di semua premis perniagaan di bandar Jerantut dan Kuala Lipis.

Menurutnya, KPDNKK meminta orang ramai membuat laporan di pejabat cawangan itu dalam usaha membanteras peniaga atau premis yang memanipulasikan harga dan tidak meletakkan tanda harga khususnya menjelang bulan Ramadan dan hari raya tidak lama lagi.



0 comments:

share2