Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, June 18, 2014

NIK MAT RAIH RM4,500 SEHARI



Kesusahan dirinya yang tidak dipedulikan sesiapa menyebabkan Nik Mat Nik Mahmud, 51, tabah mencari rezeki bagi menyara keluar­ganya dengan membuka gerai kecil-kecilan ­di tepi jalan.

Pernah berdepan detik sukar tatkala gerainya roboh akibat serangan kumpulan lembu tidak berpemilik hampir mematahkan semangatnya berniaga kerana tiada modal. 

Pengalaman pahit itu dijadikan pengajaran hidup sebelum bangkit mendirikan gerai buah-buahan beratapkan kanvas. 

Siapa sangka rezeki dari kerja kontrak RM40 ­sehari membolehkan Nik Mat membangunkan kedai ­di tanah milik keluarganya, selain isterinya, Rahimah Che Ton, 50, yang setia membantu.

Sokongan keluarga terdekat terutama adik beradik banyak membantu membangunkan kedai itu.

Kegigihan suami isteri itu membangunkan perniagaan secara ala kadar menguntungkan sehingga mampu membeli sebuah van terpakai. 

Van yang pada mulanya untuk mengangkut pekerja kilang digunakan Nik Mat berulang-alik ke Pasar Borong Wakaf Mempelam, di Gong Pauh, dekat Kuala Terengganu bagi mendapatkan bekalan sayur dan ikan segar. 

Nik Mat berkata, FAMA banyak mengubah perniagaan keluarganya hingga berstatus Usahawan AgroBazaar Kedai Rakyat. 

“Saya didatangi seorang pegawai FAMA negeri yang berhasrat memberikan bantuan. Mulanya saya sangka pegawai itu sekadar membuat bancian, tapi sikapnya menarik minat saya menyertai konsep Agro Bazaar Kedai Rakyat. 

“Dengan bantuan rak jualan, keadaan gerai saya lebih cantik dan bersih selain papan tanda kedai, gondola, banting dan pelbagai peralatan promosi,” katanya. 

Hasilnya, jualan perniagaan bertambah berkali ganda daripada RM500 sehari kepada RM4,500 sehari. 

“FAMA bukan saja menyediakan kemudahan rak peragaan, tapi membantu menyusun barang dan menyimpan stok barang. 

“Daripada sedikit barangan, kini kami menjual keperluan harian termasuk lampin pakai buang, penjagaan diri, ikan dan sayur, manakala kebanyakan pelanggan adalah kakitangan awam termasuk guru dan pengusaha kantin,” kata­nya. 

Dia yang menyertai AgroBazaar Kedai Rakyat pada 2010 berkata, pembukaan kedai seawal jam 6 pagi membuka lebih rezeki kepada keluarganya terutama mereka yang berhasrat mendapatkan keperluan rumah sebelum bekerja. 

“Itu antara kelebihan kedai kami dan saya ­anggap ia sebagai pembuka rezeki malah kami me­ngutamakan produk Bumiputera,” kata bapa kepada tujuh anak yang membuka kedai di Kampung Pagar Besi, Batu Rakit, Terengganu. 

Prinsip hidupnya tidak mengamalkan konsep berhutang membolehkan barangan di kedai terbabit dibayar secara tunai, selain memperoleh nilai jualan bulanan sekitar RM100,000 hingga RM120,000 sebulan. 

“Pembelian secara tunai mengelak kita daripada beban hutang, malah perniagaan lebih teratur tanpa berdepan masalah besar,” katanya.



1 comments:

  • Anonymous says:
    June 18, 2014 at 9:28 PM

    Semoga Allah SWT menambahkan lagi rezeki Nik Mat supaya dapat membantu keluarga dan kaum kerabatnya.

share2