Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, June 26, 2014

MAUT DISERANG LEBAH



REMBAU – Seorang warga emas maut selepas diserang ratusan lebah hutan ketika sedang membersihkan dusun duriannya di Kampung Paabai, Miku, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 12.30 tengah hari itu, mangsa, Hashim Ibrahim, 78, seperti biasa sedang mesin rumput di dusunnya itu ditemani anak kelimanya, Shahrani Hashim, 38, dan cucunya, Amirul Asyraf Fadhil, 19.

Menurut Shahrani, dia berada kira-kira 100 meter dari lokasi ayahnya diserang lebah hutan berkenaan dan dikejutkan dengan panggilan Amirul yang menyuruhnya membantu menyelamatkan ayahnya.

“Saya terus berlari ke arah ayah dan terkejut apabila ternampak lebah di muka serta badan ayah. Saya terus menanggalkan baju saya dan menutup muka serta kepala ayah kerana tidak mahu lebah berkenaan terus menyengat ayah.

“Bagaimanapun, lebah berkenaan menyengat saya dan saya terus berlari masuk ke dalam anak air yang terletak tidak jauh dari lokasi kejadian,” katanya ketika ditemui di perkarangan Bilik Mayat Hospital Tampin, dekat sini, semalam.

Shahrani berkata, selepas itu, dia berusaha meminta bantuan Orang Asli yang berada berhampiran lokasi kejadian untuk menghubungi bantuan perubatan memandangkan lokasi dusun tidak mempunyai talian telekomunikasi.

“Namun, masih ada lagi lebah di tubuh ayah dan saya dengan bantuan Amirul berusaha menarik ayah masuk ke dalam anak air. Pada masa itu, nadi ayah sudah lemah.

“Usaha kami itu akhirnya berjaya mengelak daripada terus disengat lebah hutan. Jika diikutkan, saya sepatutnya pergi ke kebun cili saya, namun pada hari ini (semalam), saya berat hati ke kebun cili lalu mengikut ayah ke dusun durian bagi membantu membersihkan dusun," katanya.

Jurucakap polis berkata, pihaknya menerima panggilan sekitar jam 1 petang dan bergegas ke lokasi kejadian dan sebaik tiba mangsa sudah meninggal dunia.

“Manakala, anak dan cucu mangsa pula mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di wad kecemasan Hospital Tampin," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mizan Md Dom ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut.



0 comments:

share2