Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, June 26, 2014

DUGAAN MENJELANG PUASA



ENDAU – “Syukur Alhamdulillah kerana saya sekeluarga terselamat dalam kejadian kebakaran, mungkin ini ujian yang diberikan ALLAH kepada kami sekeluarga menjelang Ramadan ini.”

Begitulah reaksi seorang pekerja syarikat pembersihan di SK Teluk Lipat, di sini, Ab Rashid Abas, 53, selepas hampir keseluruhan rumahnya di Kampung Belukar Juling, dekat sini kebakaran kira-kira jam 5.45 petang kelmarin.

Menurutnya, kebakaran bermula dari ruang tengah rumah mereka itu dipercayai berpunca daripada litar pintas yang disedari ketika sedang bersiap untuk menunaikan solat Asar.

Apabila menyedari rumahnya terbakar, Ab Rashid berkata, fikirannya hanya tertumpu untuk menyelamatkan bapa mertua dan seorang anaknya yang juga orang kurang upaya (OKU).

“Saya sangka mereka ada dalam bilik tidur ketika kejadian, rupa-rupanya ada di luar rumah, mujur kedua-duanya selamat,” katanya.

Katanya, anggaran kerugian kira-kira RM100,000 dan hampir keseluruhan rumah serta peralatan lain termasuk wang tunai RM2,000 milik mertua musnah dan dokumen penting dijilat api.

Adun Endau, Datuk Abdul Latif Bandi berkata, beliau sudah meminta pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) mengambil langkah segera.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Endau, Pegawai Bomba Kanan I, Sulong Khaled berkata, lapan anggota tiba 10 minit selepas menerima panggilan pada jam 5.47 petang.

“Api sedang marak ketika anggota penyelamat sampai dan api dapat dikawal dalam masa lima minit," katanya.



0 comments:

share2