Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, June 4, 2014

ASKAR MATI DITEMBAK KETIKA CARI PENCEROBOH CEDERA

Tentera mati ditembak  ketika cari penceroboh cedera


Lahad Datu: Mahkamah Tinggi di sini, semalam diberitahu bahawa seorang anggota tentera Malaysia ditembak mati ketika beliau dan rakan pasukannya mencari dua penceroboh yang cedera dalam kejadian tembakan dengan pasukan keselamatan di Kampung Sungai Nyamuk, di sini, pada 12 Mac tahun lalu. 

Pegawai Memerintah Kompeni A, Batalion Ketujuh Rejimen Askar Melayu Diraja Mejar Mohd Sukri Ismail, berkata dalam insiden tengah hari itu, prebet Ahmad Hurairah Ismail terkena tembakan di mata kanannya ketika beliau dan anggota pasukannya hendak bergerak ke kawasan semak, tempat dua penceroboh melarikan diri selepas insiden tembakan pada pagi itu. 

“Saya menyusun anggota saya dalam kedudukan sebaris (meniarap) dan bertentangan dengan kedudukan penceroboh. 

“Selepas semua berada dalam kedudukan, saya mengarahkan anggota saya bangun dan bergerak ke hadapan untuk memulakan pencarian penceroboh. 

“Tiba-tiba, saya dengar tembakan dari arah bertentangan dan saya dengar anggota saya menjerit ‘Hurairah kena (tembak)’ sebanyak tiga kali,” katanya. 

Ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd Yusoff mengenai bilangan das tembakan yang beliau dengar, Mohd Sukri berkata satu das. 

Pegawai memerintah kompeni itu, yang menjadi saksi pendakwa ke-28, berkata antara jam 10.15 pagi dan jam 10.30 pagi, beliau dan pasukannya sedang menjalankan tinjauan mengenai keadaan di Kampung Sungai Nyamuk apabila dihujani tembakan dari arah kawasan paya di Kampung Tanduo. 
“Saya mengarahkan anggota saya untuk membalas tembakan. Pertempuran berakhir lebih kurang 11.30 pagi,” katanya. 

Ishak: Adakah kamu nampak berapa ramai penceroboh bersenjata melepaskan tembakan ke arah kamu. 

Mohd Sukri: Pada jarak 80 meter, ada tiga penceroboh. Daripada tiga orang itu, dua sedang melepaskan tembakan. Dan pada jarak 100 hingga 150 meter, ada dua orang bersenjata api. 

Ishak: Adakah kamu nampak jenis senjata yang mereka bawa? 

Mohd Sukri: Pada jarak 80 meter, satu bersenjatakan pistol, satu bersenjata api laras panjang dan satu lagi kelihatan pegang pedang atau parang panjang manakala dua lagi, pada jarak 100-150 meter, kelihatan bersenjata api laras panjang. 

Ishak: Semasa kejadian tembakan itu, adakah kamu dan pasukan kamu dapat menembak penceroboh itu? 

Mohd Sukri: Seorang tumbang dan kelihatan terkena tembakan. Dua terkena tembakan dan lari terhuyung-hayang ke arah semak. - BERNAMA



0 comments:

share2