Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, May 23, 2014

SEMANGAT AYAH DAN FITNAH



Abuya Hamka. - Foto Internet


KEMBALI kita membicarakan perihal Prof Hamka dan ayahnya, Haji Rasul. Pada siri lepas kita lihat bagaimana semangat ayahnya bangkit menghadapi penyelewengan Tarikat Naqsyabandi di tempat mereka.

Ini bukan bererti Hamka atau ayahnya menolak tasawuf, namun ilmu tasawuf yang diterima ialah berteraskan al-Quran dan Sunnah bebas daripada karut-marut. Hal ini disebut Hamka: “... yang penting ertinya untuk menentukan persimpangan jalan antara tasawuf asli menurut sunah, dengan tasawuf bercampur aduk dengan perbuatan yang membawa kepada wasilah, iaitu mengadakan perantaraan antara seorang hamba dengan Tuhannya, dengan tasawuf yang tetap berpegang pada pengkalan tauhid, iaitu menghadap Tuhan secara langsung, tidak melalui perantaraan”. (Prof Hamka, Ayahku, m/s 114. Selangor: Pustaka Dini 2007)

Ayahnya membetulkan amalan masyarakat Padang ketika itu berkaitan pengurusan jenazah. Amalan kenduri arwah menjadi adat masyarakat Melayu di sana dibantah ayahnya seperti dicatatkan Prof Hamka mengenai peristiwa kematian datuknya.
Semangat ayah

Kata Prof Hamka: “Sebagai anak yang mencintai ayah, beliau turut bersama saudaranya yang lain memandikan ayahnya, bersama adik ayahnya (amminya). Tetapi setelah penghulu dan ulama, tuanku dan lebai di seluruh Danau memutuskan hendak mengadakan kenduri kerana kematian itu, beliau menyatakan pendirian tegas, kenduri kerana kematian adalah haram dalam agama, wahsyah namanya. Sama hukum dengan meratap. Berasal daripada agama hanyalah jika orang pergi menjenguk kematian membawa makanan untuk orang berdukacita itu, sebaiknya makanan dimasak. Fatwa ini dilancarkannya di suraunya di Muara Pauh”. (Ibid m/s 117)

Dalam suasana yang penuh semangat dan melalui pelbagai rintangan, Hamka membesar sebagai anak dai yang berusaha melakukan islah dalam masyarakatnya.

Semangat perjuangan ayah Prof Hamka menyerap masuk ke dalam jiwanya. Ini dapat kita lihat apabila Prof Hamka menceritakan pengalaman ayahnya dengan penuh semangat.

Umpamanya, ketika Prof Hamka menceritakan bagaimana ‘ulama-ulama tua’ (istilah digunakan Hamka) menentang kedatangan ayahnya ke Tanah Melayu pada 1916. Kedatangan ayahnya ditentang mufti Tanah Melayu. Hamka memetik kata-kata ayahnya: “Menjadi mufti dalam kerajaan Melayu itu sangatlah megahnya. Memakai pakaian rasmi yang pakai polet, berpisang sesikat di bahu, jubah berukir-ukir benang emas, dan serban daripada sutera dan berkereta sendiri. Rakyat pun sangat takut dan
taat, sisanya dimakan, sepah sirihnya dikunyah, dan kalau beliau ingin hendak kahwin bismillah”.

Seterusnya Prof Hamka mengulas: “Sebelum beliau datang, keluar fatwa Syeikhul Islam (gelaran mufti-pen) itu menyatakan, akan datang ke mari seorang ulama yang sesat lagi menyesatkan, wahabi, kaum muda, tidak percaya kepada ulama dan keluar daripada mazhab Syafi’I”. (Ibid m/s 160)

Prof Hamka menceritakan bagaimana beliau nekad seperti ayahnya: “Bahkan seketika terjadi pertemuan ulama Sumatera-Malaya yang diadakan Jepun pada 1943 di Singapura, sengaja beberapa ulama Singapura menemui kami sebelum ke perjumpaan dimulai, menyatakan sekali-kali jangan dibawa ke mari fahaman yang keluar daripada Mazhab Ahli Sunnah wal Jamaah dan keluar daripada Mazhab Syafi’i. Ketika ada kawan-kawan yang nakal memberitahu saya anak Haji Rasul, mata ulama itu ‘melotot’ serupa biji rambutan melihat saya dan saya pun jadi nekad pula sebagaimana nekadnya ayah saya. Takut benar ulama di sana pada waktu itu bahawa Mazhab Syafi’i akan berubah lantaran Kaum Muda Sumatera atau Muhammadiyyah di Jawa...alangkah sempitnya, perkara pakaian pun mereka kaitkan dengan mempertahankan berfikir dalam satu mazhab… tidak hairan, sebab feudalisme raja-raja di sana sebagai raja Islam, bersandar kepada ulama kolot yang mengutamakan taklid kepada ulama supaya rakyat taat kepada ulama, ertinya kepada raja, erti kepada Inggeris!”. (Ibid m/s 162)


Membalas tohmahan

Gerakan pembaharuan dibawa Prof Hamka dan tokoh pembaharuan Nusantara yang lain pasti menimbul keadaan tidak selesa golongan agama yang setia ada dan mereka yang ingin mempertahankan status qua dalam masyarakat. Maka, pelbagai tuduhan dilemparkan kepada gerakan pembaharuan dan usaha tajdid yang dijalankan. Bermula dengan gelaran golongan muda, wahabi, sesat, tidak hormat ulama, menghina mazhab Syafi’i dan lain-lain lagi.

Dengan tegas Prof Hamka membalas tohmahan itu, antaranya beliau berkata: “Bersama dengan penghinaan kepada Wahabi, diperbuat pula buku yang memburukkan as-Sayyid Jamaluddin al-Afghani, dan as-Syeikh Muhammad Abduh, dan al-Sayyid Rasyid Ridha. Yang sangat bersemangat membuat buku demikian ialah al-Syeikh Yusuf bin Ismail al-Nabahani yang menjadi kadi di Mahkamah Beirut dalam kerajaan Turki. Bukunya Shawahidul haq penuh dengan kata-kata yang penuh dengan fitnah dan penghinaan… kitab-kitab seperti inilah yang sampai ke tangan kaum-tua”.

Katanya: “Oleh kerana mereka biasa dengan taklid tidaklah mereka mahu membaca pula kitab lain yang menerangkan pokok pendirian sebenar daripada orang yang dihina dan dicela itu. Syeikh Yusuf al-Nabahani menyatakan as-Sayyid Jamaluddin dan Syeikh Muhammad Abduh tatkala mati terjulur lidah! Maka lekatlah kata-kata ini pada seluruh pembaca kitabnya. Syeikh Nabhani tidak sanggup menerangkan apakah kesalahan beliau itu, melainkan membuat fitnah yang tidak-tidak.

Sampai as-Sayyid Rasyid Ridha dikatakan sama dengan Abu Jahal. Sehingga orang yang otaknya telah beku dan fikirannya tidak jalan, telah percaya kepada fitnah yang dibawa oleh al-Nabhani itu.

Oleh kerana ulama yang mula-mula melepaskan tauhid Islam yang suci daripada khurafat dan bidaah mutasawwifin (kelompok sufi-pen) ialah Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah dan muridnya-muridnya Ibnu Qayyim maka beliau-beliau inipun tidak pula lepas daripada serangan. Segala kata yang bukan-bukan pula yang diperbuat atas diri beliau-beliau itu. Memang apabila orang kehabisan hujah dan alasan, mereka pun kembali memakai perkakas fitnah.

Dan inilah yang menyebabkan berpecah-belah umat Islam, berkaum tua berkaum muda”.

Kata Hamka lagi: “Bagi kami yang dikatakan kaum muda itu tidaklah keberatan jika dituduhkan Wahabi. Kalau 20 atau 30 tahun yang lalu semasa pengetahuan agama hanya boleh dipercayai oleh mufti sahaja, mungkin orang takut dikatakan Wahabi.

Tetapi sekarang orang tahu Wahabi tidak lain adalah daripada penganut Mazhab Hanbali dan memang mazhab Hanbali terkenal mazhab yang keras mempertahankan sunah. Dan yang berpengaruh memperbaharui faham Mazhab Hanbali itu ialah Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah dan Ibnu Qayyim.

Oleh sebab itu bagi kami dituduh Wahabi bukanlah satu penghinaan”. (Prof Hamka, Teguran Suci Dan Jujur Terhadap Mufti Johor, 76-77. Selangor: Pustaka Dini 2009)


Tidak hormat ulama

Antara fitnah dikenakan atas gerakan pembaharuan Indonesia dan juga di Tanah Melayu ketika itu ialah tuduhan golongan pembaharuan tidak hormati ulama. Prof Hamka menjawab: “Kadang-kala dikatakan golongan muda tidak hormati ulama.

Padahal yang mereka katakan ulama itu bukanlah Imam Malik atau Imam Syafie, tetapi beberapa pegawai kerajaan yang memakai serban dan jubah. Dan beliau pun merasakan dirinya ulama kerana pada tangannya sudah ada surat tauliah”. (Ibid m/s 66)

Golongan yang menentang usaha pembaharuan cuba memberikan gambaran salah kepada masyarakat awam kononnya golongan pembaharuan itu menghina al-Imam al-Syafi’i. Padahal yang disebut golongan pembaharuan ialah kembali kepada teks asal al-Imam al-Syafi’i untuk melihat sejauh manakah benarnya dakwaan kononnya amalan setempat itu berasaskan pendapat al-Imam al-Syafi’i.

Di samping golongan pembaharuan mengajak melihat Islam lebih luas dari kerangka satu mazhab sahaja, sebaliknya mengambil manfaat ilmu daripada tokoh ulama muktabar dari pelbagai latar mazhab.

Apa yang ditekankan golongan pembaharuan ialah usaha berdamping dengan dalil al-Quran dan al-Sunnah yang dibincangkan imam yang besar. Ini dibimbangi ‘kaum tua’ takut-takut amalan dan pendapat mereka disangkal masyarakat. Maka, isu tidak menghormati ulama pun ditimbulkan.

Prof Hamka menjawab: “Kedua, kata orang kami tidak menghormati ulama...hal ini saya huraikan dengan saksama, kaum muda amat hormat kepada: ulama. Kaum muda insaf bahawa pengetahuan yang kita dapat sekarang ini, manakan sampaikan ke tangan kita kalau bukan lantaran ulama.

Kami sangat patuh kepada ulama ikutan kita keempat-empatnya: Imam Malik, Imam Syafie, Imam Abu Hanifah, Imam Ahmad bin Hanbal. Demikian cinta hormati kami kepada beliau-beliau sehingga kalau ada ulama yang menjadi pengawal di luar yang mencuba-cuba menghalangi kami buat bertemu dengan pendapat beliau, kami sirwak (memalukan) apa ulama lain itu, dan kami berkata kepinggirlah engkau!

Kami hendak bertemu dengan beliau keempat-empatnya (imam empat) menyuruh kami meneruskan perjalanan ke atas, ke hulu agama: kepada al-Kitab dan as-Sunnah dan keterangan yang diberikan oleh orang yang terdekat kepadanya, iaitu sahabat Rasulullah.

Padahal tatkala kami masih di muara, banyak benar menghalangi. Datang syeikh fulan dan sudah jauh di bawah mutaakhirin (ke belakang), bahkan mutaakhiril mutaakhirin (ke belakang dari yang belakang) melarang keras! Jangan pergi ke hulu. Jangan! Haram! Padahal kami tidak mahu dihalang-halangi lagi. Dituduhlah kami sesat, siapa kita yang sesat?. (Ibid m/s 63)


*Saya akan sambung perbincangan pada siri berikutnya insya-ALLAH.

Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin

0 comments:

share2