Marang - Hasrat seorang ibu tunggal dari Kampung Banggol Durian di Alor Limbat, dekat sini, untuk memiliki kediaman lebih selesa dan selamat tercapai apabila Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) memberikan bantuan rumah sebanyak RM40,000.
Syarifah Maimunah Syed Mustafa berkata, dia sudah mendiami rumah baharu tersebut bersama seorang anak lelakinya memandangkan keadaan rumah sedia ada yang terletak berhampiran rumah baharu tersebut semakin usang dan kelihatan tidak selamat untuk didiami.
“Saya masih tak percaya dapat tinggal di rumah baru...gembira sangat apabila permohonan saya untuk dapatkan rumah baru diluluskan Maidam.
“Kini saya sudah mula tinggal di rumah baru ini,” katanya selepas menerima rombongan lawatan sekumpulan pegawai Maidam diketuai Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Datuk Mohd Rozali Salleh di rumah baharunya di Kampung Banggol Durian, di sini.
Hadir sama, Naib Ketua Umno Bahagian Marang, Saiful Bahri Datuk Baharuddin.
Sementara itu, Saiful berkata, pihaknya berterima kasih kepada Maidam kerana membina rumah baharu untuk Syarifah Maimunah.
“Saya yakin kerajaan negeri akan terus melakukan usaha terbaik bagi membantu golongan kurang mampu dari segi pembaikan rumah, bina rumah baru dan sebagainya. Maidam akan terus melakukan usaha-usaha seperti ini,” katanya.
0 comments:
Post a Comment