New Delhi - Pelancong India mungkin menyisihkan Thailand pada musim puncak perjalanan dan menuju ke destinasi lain seperti Malaysia dan Bali di Indonesia berikutan rampasan kuasa yang berlaku pada Khamis, menurut laporan berita 'Times of India'.
Akhbar itu melaporkan berikutan rampasan kuasa itu, Thailand boleh kehilangan kedudukannya sebagai destinasi luar negara pilihan utama pelancong India.
Syarikat perjalanan berpendapat oleh kerana tidak mahu mengambil risiko, pelancong akan memilih destinasi lain seperti Bali, Malaysia, Kemboja dan Hong Kong.
"Bagaimanapun, masih terlalu awal untuk menilai kesannya. Mungkin ada kesan dalam jangka pendek dan orang mungkin beralih ke destinasi lain. Malaysia dan Hong Kong akan mendapat manfaat," kata ketua bahagian perhubungan Cox & Kings Karan Anand kepada akhbar berbahasa Inggeris itu.
Beliau berkata sebelum ini pun, berikutan tunjuk perasaan yang sering diadakan di Thailand, orang tidak lagi mahu ke Bangkok dan sebaliknya terbang terus ke Pattaya atau Koh Samui.
Thailand menjadi pilihan ramai pelancong India kerana ia menawarkan pilihan yang sesuai dengan bajet semua golongan.
"Berikutan pilihan raya yang diadakan di India, banyak orang menangguhkan rancangan perjalanan mereka pada musim panas dan kami dapati terdapat peningkatan bagi tempahan ke Thailand dalam tempoh 10 hari lepas," kata pegawai kanan MakeMyTrip Mohit Gupta.
Industri pelancongan Thailand terjejas oleh kekacauan politik yang melanda negara itu sejak beberapa bulan lepas.
"Bagi pakej yang menggabungkan Singapura, Malaysia dan Thailand, pelanggan meminta kami menggugurkan Thailand dan menggantikannya dengan negara lain," kata presiden dan ketua pegawai eksekutif Asia Pacific Tours, M. K. Ajit Kumar.
0 comments:
Post a Comment