Kuantan – Seorang penganggur terlepas daripada hukuman penjara oleh Mahkamah Majistret, dekat sini, semalam sekali gus mampu menarik nafas lega apabila mahkamah menggantikannya dengan melakukan kerja wajib di bawah pengurusan parol, selepas mengaku bersalah mencuri coklat, empat hari lepas.
Majistret Noor Zaihan Mohamad Ali memerintahkan Fairuzanizam Abdul Ghani, 32, dari Balok menjalani hukuman itu selama empat jam sehari dalam tempoh dua bulan, dan jika gagal melaksanakan tugas tersebut akan dipenjarakan selama dua bulan.
Dia didakwa mencuri sembilan bar coklat jenama Van Houten bernilai RM74.61, kepunyaan sebuah pasar raya di Jalan Pasar, jam 9.20 malam pada 19 Mei lepas.
Mengikut fakta kes, ketika kejadian penganggur tersebut telah menyimpan kesemua coklat yang dicurinya di dalam sebuah beg sandang sebelum ditangkap pekerja yang bertugas, dengan tujuan melarikannya tanpa membuat sebarang pembayaran di kaunter.
Bagi kesalahan itu, Fairuzani-zam didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan dikenakan denda, dan bagi kesalahan kali kedua juga dikenakan penjara, juga denda atau sebatan.
Ketika prosiding berjalan, tertuduh sempat memohon hukuman terhadapnya diringankan memandangkan dia tidak bekerja dan perlu menanggung dua orang anak yang masih kecil dan isteri.
Di hadapan majistret, tertuduh turut menyatakan kesanggupannya untuk melakukan kerja wajib seperti mana diarahkan pihak mahkamah selama memandangkan tidak mampu untuk membayar sebarang denda yang dikenakan.
0 comments:
Post a Comment