Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, May 24, 2014

MUIP BANTU TIGA KELUARGA DAIF




Kuantan - Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) akan membantu tiga keluarga yang didakwa diminta keluar oleh penduduk kampung selepas beberapa hari tinggal di dalam khemah di Kampung Alur Ladang.

Timbalan Yang Dipertua Muip, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan berkata, Yang Dipertua Muip, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menitahkan perhatian segera diberikan bagi membantu tiga keluarga terbabit termasuk dalam menyediakan tempat tinggal kepada mereka.

Sebagai contoh, katanya, untuk menyediakan tempat tinggal seperti di perumahan Pak Mahat, Muip perlu berurusan terlebih dahulu dengan pihak terlibat seperti Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan juga Majlis Perbandaran Kuantan (MPK).

“Dalam hal ini, bukan sahaja Muip yang akan memainkan peranan tetapi kita akan bekerjasama dengan agensi kerajaan lain seperti Pejabat Tanah, MPK dan SUK,” katanya.

Mengulas lanjut, Wan Abdul Wahid berkata, Muip akan mendapatkan maklumat terperinci berhubung tiga keluarga bersaudara itu sebelum sebarang bentuk bantuan dapat disalurkan.

Tiga keluarga termasuk seorang bayi berusia 45 hari kini tinggal sementara di Pejabat Badan Kebajikan dan Kemanusiaan Mukim Beserah dan Sungai Karang (Bakkis) di Balok sementara ada pihak membantu.

Selain bayi itu, tujuh lagi kanak-kanak tinggal bersama tetapi mereka dibantu ahli Bakkis yang menyediakan kenderaan untuk ke sekolah.

Sinar Harian semalam melaporkan tiga keluarga terbabit terpaksa dipindahkan dalam hujan dibantu Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Kelab Peminat Motosikal Berkuasa Tinggi (AsoC) apabila beberapa penduduk meminta mereka berpindah segera.

0 comments:

share2