Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, May 19, 2014

PADAH CUBA RASUAH RM92




Johor bahru - Seorang pelancong warganegara India dihukum denda RM4,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini, semalam, selepas mengaku bersalah cuba memberi rasuah RM92 kepada anggota polis, 6 Mei lalu.

Khosa Lakhwinder Singh, 23, yang memasuki negara ini secara sah sejak 28 April lalu, membuat pengakuan berkenaan di hadapan Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya dalam bahasa punjabi oleh jurubahasa.

Tertuduh berdepan hukuman penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda yang dikenakan ke atasnya.

Khosa dituduh memberi suapan wang tunai RM92 kepada Lans Koperal Mohd Shamsul Baari Hasris dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kulaijaya pada jam kira-kira 11.45 malam di Lebuhraya Senai, dekat sini.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 21 bulan atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, Khosa memberi suapan kepada anggota berkenaan sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap rakannya, Mandeep Singh yang disyaki menyamar menggunakan nama orang lain.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ridzuan Abd Malik, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Ridzuan dalam penghujahannya memohon mahkamah mengenakan hukuman berat terhadap tertuduh sebagai pengajaran supaya menghormati undang-undang negara ini.

Bagaimanapun, Mohamad Haldar kemudiannya memerintahkan tertuduh didenda RM4,000.

0 comments:

share2