MALAYSIA berada pada kedudukan ke-12 paling berdaya saing daripada 60 negara tahun ini, berbanding kedudukan ke-15 tahun lalu, menurut Laporan Tahunan Daya Saing Dunia 2014 diterbitkan Institut Pembangunan Pengurusan berpusat di Switzerland.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kedudukan Malaysia mencerminkan kejayaan usaha kerajaan dan sektor swasta untuk membina ekonomi yang lebih kompetitif.
"Persepsi antarabangsa tentang kemampuan Malaysia menguruskan ekonomi dan kewangan adalah lebih baik dan ini akan membantu membawa transformasi bagi mencapai taraf negara maju menjelang 2020," katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Beliau berkata, di bawah kategori daya tahan ekonomi, Malaysia berada di kedudukan kedua dalam kalangan negara yang dinilai.
"Pencapaian ini menggambarkan ketahanan ekonomi Malaysia dalam mengharungi cabaran global.
"Peningkatan kepercayaan pelabur kepada kerajaan Malaysia juga membanggakan. Peningkatan kemasukan pelaburan asing menyaksikan Malaysia naik 10 anak tangga ke tempat ke-11 dari kedudukan ke-21 tahun lepas," katanya.
Menurutnya, kerajaan menyedari cabaran dihadapi rakyat susulan rasionalisasi subsidi dan langkah bagi menangani defisit fiskal namun laporan itu menunjukkan berbanding negara lain, Malaysia naik enam anak tangga dalam Indeks Kos Sara Hidup (ke-16).
Harga bahan api (RON 95) pula kekal ke-4 termurah berbanding 60 negara dikaji.
0 comments:
Post a Comment