Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, May 23, 2014

PM: JURANG KEMISKINAN ISU MENDESAK




TOKYO - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengingatkan jurang yang semakin lebar antara kaya dan miskin di negara maju telah menjadi isu dasar yang mendesak sejak beberapa tahun lalu.

Menurutnya, perkara ini bukan hanya laungan 'Tawan Wall Street' oleh penunjuk perasaan kerana banyak institusi penyelidikan telah memberi tekanan kepada kesan buruk ketidaksamarataan struktur.

"Ketidaksamarataan yang kecil akan menggalakkan individu untuk bekerja keras dan melakukan inovasi. Tetapi satu sistem yang tidak sama, mewujudkan ekonomi yang kosong, di mana kekayaan dan peluang hanya disediakan untuk sebilangan kecil dan mengenepikan golongan majoriti,' katanya dalam ucaptama Persidangan Antarabangsa Nikkei ke-20 Mengenai Masa Depan Asia 'Kebangkitan Asia: Mesej untuk 20 tahun akan datang', di sini hari ini.

"Di negara saya, contohnya, di mana ketidaksamarataan pendapatan kekal menjadi satu kebimbangan, kami sedang berusaha untuk mencari imbangan yang betul antara tindakan afirmatif dan peluang individu," katanya kepada hampir 700 anggota delegasi merangkumi pemimpin politik, pakar ekonomi serta pemimpin industri.

Najib yang juga Menteri Kewangan menekankan yang ketidaksamarataan keterlaluan memberi kesan yang serius ke atas kesihatan, pendidikan dan kehidupan.

"Apabila peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar mengatasi taraf hidup, orang ramai berasa mereka tidak mempunyai kepentingan dalam kejayaan ekonomi negara mereka. Keadaan itu menjejaskan kemajuan sosial dan mengancam kestabilan," katanya.

Menurutnya, dengan pertumbuhan pesat ketika perubahan globaliassi dan teknologi, kebangkitan Asia akan terdedah kepada ketidaksamarataan yang semakin melebar.

"Dalam tempoh dua dekad lalu, lapan daripada 10 penduduk Asia mendapati mereka hidup di kawasan di mana ketidaksamarataan pendapatan makin lebar, bukannya mengecil.

"Ketika ketidaksamarataan telah berkurangan di rantau sedang membangun seperti Amerika Latin, ia bagaimanapun telah meningkat di Asia," katanya.

Bank Pembangunan Asia telah menunjukkan jika ketidaksamarataan kekal statik, lebih 240 juta orang akan dapat dikeluarkan daripada kemiskinan. 

"Oleh itu di sebalik perangkaan pertumbuhan yang besar, adalah jelas kejayaan masa depan Asia bergantung kepada pembangunan ekonomi yang lebih pelbagai dan meluas.

"Untuk Asia benar-benar makmur, kita perlu memberikan rakyat kita lebih keadilan di samping lebih kesamarataan. Bagaimanapun, ini bukan mudah.

Malah ekonomi paling maju terpaksa bergelut untuk menangani ketidaksamarataan. 

"Tidak ada penyelesaian mudah. Tetapi terdapat beberapa perkara yang kita boleh lakukan," kata Najib.

Antara lain, katanya, semua negara perlu meningkatkan pelaburan dalam barangan awam seperti pendidikan dan kesihatan, meningkatkan akses kepada pendidikan berkualiti serta mengurangkan jurang antara taraf kesihatan bandar dan luar bandar.

"Ia bermakna mengukuhkan jaringan keselamatan sosial dan menggunakan subsidi bersasaran bagi membantu golongan miskin. Di samping itu menggalakkan sektor swasta memberi sumbangan dengan syarikat menyediakan buruh dengan fleksibiliti, latihan dan sokongan," katanya.

Menurut Najib, wujud keperluan untuk membina ekonomi yang lebih seimbang dengan pekerjaan lebih berkualiti dan pertumbuhan lebih sekata dalam semua sektor, dengan komitmen berterusan untuk memerangi rasuah.

"Menangani rasuah bukan boleh dilakukan dalam setahun atau sedekad, tetapi ia boleh dan mesti dilakukan. Pembaharuan perlu dilakukan ke atas kontrak kerajaan dengan memperkenalkan bidaan terbuka, membawa ketelusan kepada satu proses yang sering dicemari rasuah. 

"Mengukuhkan institusi antirasuah dan meningkatkan pendakwaan ke atas pemberi dan penerima rasuah, boleh membantu menukar sikap, walaupun rasuah sudah lama berakar umbi," katanya.



0 comments:

share2