Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, May 29, 2014

KUANTAN: TIGA PENUNGGANG POSITIF DADAH




Kuantan - Tiga penunggang motosikal didapati positif dadah selepas menjalani ujian air kencing dalam satu Operasi Khas Motosikal di Jalan Teluk Sisek di sini, malam semalam.

Selepas ujian yang dilakukan kakitangan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), dua lelaki berusia antara 18 tahun dan 28 tahun didapati positif methamphetamine manakala seorang lagi berusia 35 tahun disahkan positif ganja.

Dalam operasi bermula kira-kira jam 9 malam itu, seramai 44 penunggang motosikal melakukan ujian air kencing dan tiga yang positif dibawa ke Pejabat AADK untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Pegawai Turus Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri, Deputi Superintendan Mohammad Noor Yusof Ali berkata, polis membuat pemeriksaan ke atas 58 penunggang dan mengeluarkan 31 saman terdiri daripada pelbagai kesalahan termasuk penggunaan nombor plat, tiada lesen kenderaan dan lesen tamat tempoh.

Menurutnya, polis akan meneruskan operasi bersepadu bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan jalan raya ke atas penunggang motosikal.

“Kita juga dalam usaha membanteras jenayah curi motosikal dan pemeriksaan seperti ini diharap dapat membantu keadaan berkenaan,” katanya kepada media selepas operasi itu.

Beliau berkata, kadar kemalangan maut membabitkan penunggang motosikal juga tinggi tetapi operasi itu memberi peringatan kepada orang ramai supaya tidak memandu laju selain mengikut undang-undang ditetapkan.

Hadir sama, Timbalan Pengarah JPJ, Nazili Kadir yang turut memantau anggotanya buat pemeriksaan dalam operasi kira-kira tiga jam itu.

Katanya, JPJ menyita tujuh motosikal akibat cukai jalan tamat tempoh dan mengeluarkan 120 saman daripada 152 motosikal yang diperiksa.

“Masih ada pemandu degil yang gagal mematuhi undang-undang JPJ seperti mempamerkan nombor plat dan lampu yang tidak mengikut spesifikasi,” katanya.

0 comments:

share2