"SAYA bukan lupa diri." Demikian tegas penyerang baharu Selangor, Muhammad Nazmi Faiz Mansor susulan dakwaan mengatakan beliau pemain kacang lupakan kulit apabila membuat keputusan meninggalkan PKNS FC yang menjadi penyelamat beliau semasa dirinya dipalit dengan kontroversi selepas berpindah daripada kelab Portugal, SC Beira Mar tahun lalu, lapor NOOR HAFIZA CHE ABDULLAH.
Nazmi berbuat demikian untuk bersama Selangor pada pasaran perpindahan pertengahan musim Liga Malaysia.
"Ini bukan sekadar penghijrahan biasa tetapi untuk kepentingan karier dan masa depan yang cerah.
“Saya mahu cari ilmu baru, tidak cukup dengan apa yang saya dapat di PKNS, jadi saya berhasrat untuk berpindah ke pasukan lain untuk memajukan diri.
"Jadi, tidak timbul isu lupa atau sebaliknya. Lagipun hubungan saya dengan PKNS masih seperti biasa,” katanya.
Bekas pemain remaja SC Beira-Mar di Portugal itu turut berkata, kemerosotan prestasi pada musim kedua bersama PKNS juga antara sebab utama mengapa dia keluar dari pasukan tersebut walaupun pada tahun lalu, aksinya bersama kelab tersebut layak dipuji sehingga mendapat panggilan beraksi bersama skuad kebangsaan.
Ujar pemain berusia 19 tahun itu, dia berjanji akan melakukan yang terbaik bersama The Red Giants terutama dalam baki saingan Liga Super, seterusnya membantu pasukan baharunya itu meraih trofi musim ini.
“Tujuan saya ke Selangor juga adalah untuk bermain dengan lebih bagus dengan pasukan yang bagus, ini adalah peluang terbaik buat saya.
“Saya berjanji untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama dalam baki perlawanan musim ini,” katanya.
Ketika diaju soalan adakah beliau merupakan pemain yang 'high demand', Nazmi berkata: "Itu terlalu peribadi. Bagi saya itu urusan saya dengan Selangor. Tapi apa yang pasti saya berhijrah untuk masa depan saya."
0 comments:
Post a Comment