Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, October 8, 2013

PPDNKK JERANTUT RAMPAS DIESEL


JERANTUT - Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) cawangan Jerantut merampas 680 liter diesel subsidi bernilai RM1,360 setelah menahan sebuah lori di persimpangan masuk Kawasan Industri Jerantut di sini kelmarin.

Ketuanya, Che Hanafi Mamat berkata, ketika ditahan pukul 2.45 petang, lori terbabit yang membawa empat buah tong dram berisi bahan api itu baru hendak memasuki kawasan industri berkenaan.

"Kesemua tong dram itu diletakkan dalam keadaan terbalik untuk mengaburi mata pihak berkuasa. Siasatan awal percaya diesel itu dibeli dari sebuah stesen minyak di bandar ini untuk dijual kepada pihak industri di situ dengan harga lebih tinggi.

"Sepatutnya pihak industri dan pembalakan yang menggunakan mesin dan kenderaan boleh membeli diesel dengan kadar tertentu menerusi permit yang dikeluarkan dan bukan melalui cara haram daripada pihak lain," katanya.

Che Hanafi berkata, PPDNKK kini menjalankan siasatan terhadap stesen minyak yang disyaki bersubahat menjual bahan bakar itu melebihi 20 liter kepada pihak terlibat sejak awal tahun ini.

"Kejayaan itu merupakan kali kedua selepas operasi pertama membabitkan rampasan 200 liter dalam satu serbuan di Lipis pada Mac lalu," ujarnya.

Kata beliau, kes itu disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang jika sabit kesalahan, syarikat boleh dikompaun RM250,000 bagi kedua-dua kesalahan, sementara individu pula, denda RM100,000 dan penjara selama dua tahun.

0 comments:

share2