Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, October 8, 2013

JENAMA KHAS PRODUK PAHANG


KUANTAN -  Kerajaan negeri sedang mengkaji untuk meletakkan satu jenama khas kepada semua produk kraf tangan yang dihasilkan di negeri ini seterusnya menjaga nilai eksklusif produk berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Mohd Sharkar Shamsudin berkata, nama tersebut akan diputuskan dalam perbincangan yang dipengerusikan Pengarah Kraftangan cawangan Pahang, Datuk Zubair Mohd. Zain.

Menurutnya, dengan jenama khas itu akan menjadikan semua produk kraf berada di bawah satu nama contohnya seperti Pahang Kraf atau Pahang Art, tetapi apa yang penting adalah akan menggambarkan  identiti  produk itu daripada Pahang.

“Keperluan kepada jenama ini dilihat selepas saya lihat produk kraf tangan antara negeri ini dengan negeri lain adalah lebih kurang sama.

“Justeru,diharap penjenamaan ini akan memberi nilai eksklusif kepada produk Pahang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Promosi Kraftangan Malaysia peringkat negeri di pusat beli-belah East Coast Mall (ECM ) di sini, kelmarin.

Mohd Sharkar berkata, pihaknya akan membuat pelancaran dan mengumumkan nama dan logo yang akan digunakan.


“Ini sebahagian daripada usaha kita untuk meningkatkan pendapatan pengusaha kraf tangan yang secara tidak langsung dapat  meningkatkan ekonomi Pahang,” katanya.

Dalam perkembangkan lain, mengenai cadangan membina perkhidmatan kereta kabel bermula dari Gap iaitu di Kaki Bukit Fraser sehingga ke puncaknya, Mohd Sharkar berkata, setakat ini masih lagi dalam proses menyiapkan pelan pembangunan.

“Saya juga ada terima cadangan untuk tukar daripada kereta kabel kepada kerusi kabel yang lebih efisien di kawasan tersebut.

“Ini kerana jarak yang dicadangkan untuk membina kereta kabel ini adalah agak dekat dan kerusi kabel dilihat lebih sesuai,” katanya.

0 comments:

share2