Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, July 16, 2012

@SukanMsiaXVPhg : Muhammad Wisnu Hargai Pengorbanan Ayah


KUANTAN - Pengorbanan ayah memang tiada tandingannya dan itulah yang diberikan oleh Awaluddin Kadir yang menjadi orang kuat terhadap kejayaan anaknya, Muhammad Wisnu Awaluddin yang menghadiahkan lima pingat emas dan dua perak untuk kontinjen Pahang dalam menembak.

Biarpun hanya bekerja sebagai buruh binaan, Awaluddin tidak menjadikan itu sebagai alasan menghalang anaknya menceburi bidang menembak di samping turut membantu sokongan daripada segi masa dan wang ringgit.

''Jika dia mahu menyertai mana-mana kejohanan menembak, saya sanggup memberikan wang sebagai duit sakunya walaupun menyedari pendapatan saya sendiri tidak menentu.

''Walaupun sibuk, saya selalu akan menghantar dia pergi dan pulang dari tempat latihan, dia terlalu minat dalam sukan menembak dan saya sanggup berkorban apa sahaja agar dia berjaya.

''Bukan sekadar daripada segi kewangan malahan saya sentiasa menasihatinya jika mempunyai sebarang masalah agar dia sentiasa dapat memberikan fokus dalam setiap pertandingan yang disertai.

''Kejayaan yang dia capai pada hari ini cukup membanggakan saya, saya amat terharu dan apa yang saya harapkan dia mampu pergi jauh dengan mewakili negara di peringkat antarabangsa," katanya ketika ditemui di lapang sasar, semalam.

Pada acara semalam, Wisnu meraih pingat emas pada acara 25 meter standard pistol lelaki individu serta memecahkan rekod kejohanan selepas mencatat 562 mata untuk memadamkan rekod lama, 550 mata milik Ngiam Yen Chai dan membantu Pahang meraih satu lagi emas dalam kategori berpasukan.

Muhamad Hassanul Adzhar melengkapkan penguasaan mutlak tuan rumah pada hari terakhir acara menembak apabila merangkul emas dalam 50 meter rifle prone lelaki individu dan berpasukan bagi memastikan empat pingat emas yang ditawarkan menjadi milik Pahang.

Wisnu, pelajar Diploma Teknologi Automotif Kolej Segi, mengakui gembira dapat melakukan pencapaian lima emas dan berharap akan mendapat panggilan daripada Majlis Sukan Negara (MSN) untuk menyertai skuad kebangsaan.

0 comments:

share2