Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, December 26, 2011

Ziarah Rakyat Sampai Ke Rumah


UMNO Bahagian Temerloh setakat ini telah menziarahi lebih 60 peratus penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Semantan yang menghidap pelbagai penyakit kronik.

Penyelaras DUN Kuala Semantan, Mohd. Anuar Mohd. Yunus berkata, sejak dilaksanakan tahun lalu, program ziarah bertemu rakyat dari rumah ke rumah yang diadakan setiap minggu banyak memberi kesan baik kepada rakyat dan juga UMNO sendiri.

Menurutnya, program ziarah rumah ke rumah yang diadakan di setiap DUN dalam Parlimen Temerloh itu turut disertai wakil Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dan juga Skuad Sayang.

"Kunjungan diadakan selepas kami menerima aduan daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

"Biasanya mereka yang menghidap sakit kronik akan diberi bantuan seperti kerusi roda dan peralatan lain bersesuaian dengan penyakit yang dialami mereka.

"Insya-Allah program ini akan diteruskan dari semasa ke semasa apabila diberi maklumat daripada JKKK," katanya semasa ditemui ketika menyampaikan sumbangan kerusi roda kepada pesakit strok, Wan Rahmah Wan Hassan, 64, di Taman Seri Kemuning di sini semalam.

Mohd. Anuar berkata, program seperti itu sangat baik kerana memberi peluang kepada pemimpin UMNO bertemu sendiri rakyat dengan kunjungan dari rumah ke rumah.

Beliau berkata, ia juga memberi peluang kepada rakyat di akar umbi menyampaikan sendiri masalah dihadapi kepada pemimpin tempatan secara terus tanpa sekatan.

Sementara itu, anak Wan Rahmah, Zaini Asrul Sulaiman mengucapkan penghargaan kepada UMNO Bahagian Temerloh khususnya kepada Ketua UMNO Bahagian, Datuk Mohd. Sharkar Shamsudin yang menghulurkan sumbangan kepada ibunya.

Menurutnya, ibunya mengalami strok kira-kira sebulan lalu dan kini lumpuh sebelah badan dan hanya terlantar tanpa mampu melakukan sebarang kerja rumah lagi.

0 comments:

share2