Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, October 28, 2011

Muslihat Pembangkang Desak Pahang Bayar Tuntutan Balak


MUSLIHAT semata-mata! Itu yang boleh dikatakan tentang desakan sebuah syarikat pembalakan terhadap kerajaan negeri Pahang agar menjelaskan segera tuntutan RM37.13 juta yang berkaitan dengan usaha mengeluarkan saki-baki hutan dari kawasan 10,000 ekar di Mukim Bebar, Pekan.

Ini kerana beberapa proses perundangan berkaitan dengan tuntutan itu belum lagi muktamad serta satu kes lagi yang melibatkan tuntutan oleh kerajaan negeri terhadap syarikat yang sama bagi mengetepikan penghakiman RM37.13 juta itu, yang perbicaraannya ditetapkan pada Januari 2012, di Mahkamah Tinggi Kuantan.

Tetapi, pengarah-pengarah syarikat ini dan disokong oleh beberapa pemimpin parti pembangkang cuba mewujudkan gambaran yang salah bahawa kerajaan negeri ingkar keputusan mahkamah dan melabel dengan teruk sekali kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Bagi menyokong gambaran salah ini, pelbagai usaha dilakukan. Terbaru, menganjurkan 'mogok lapar berganti-ganti' (minum boleh pula!) oleh 10 ahli lembaga pengarah syarikat berkenaan di depan sebuah kuil di Segambut, Kuala Lumpur.

Semasa meninjau mogok lapar ini, seorang daripada pemimpin parti pembangkang yang juga ahli Parlimen di Selangor dilaporkan berkata, "Kerajaan negeri Pahang tidak hormat kepada undang-undang. Mahkamah telah pun membuat keputusan, janganlah mengaburi pihak awam. Bagi sebuah kerajaan negeri tidak mengendahkan langsung keputusan mahkamah… ia sama ada bangkrap atau terdiri daripada sekelompok samseng".

Demi meraih simpati umum, seorang lagi daripada 10 yang mogok lapar itu berjanji untuk menderma sekurang-kurangnya RM3 juta kepada badan-badan kebajikan jika kerajaan negeri Pahang membuat bayaran ke atas tuntutan tersebut.

Inilah tohmahan-tohmahan bagi menunjukkan keburukan kerajaan negeri Pahang. Sedangkan, mereka tahu, proses perundangan belum terhenti lagi. Betul, bahawa Mahkamah Tinggi Kuantan sudah memutuskan pada 25 Mei 2007 tentang pembayaran RM37.13 juta, dengan faedah lapan (8) peratus setahun berkuatkuasa mulai 31 Disember, 2000.

Bagaimanapun selepas itu, proses perundangan terus berlaku termasuk rayuan, tuntutan balas-tuntutan balas dan permohonan untuk semakan semula penghakiman oleh kedua-dua pihak, sama ada kerajaan negeri mahupun syarikat pembalakan tersebut.

Ini termasuklah pada 1 Disember 2009 lagi, apabila Hakim Mahkamah Tinggi Kuantan ketika itu, Datuk V.T.Singham memutuskan membatalkan tuntutan syarikat pembalakan yang sama ke atas Perhubungan UMNO Negeri Pahang - iaitu pemilik kepada kawasan hutan sudah kerja seluas 10,000 ekar berkenaan.

Rayuan oleh syarikat pembalakan yang sama ke Mahkamah Rayuan atas keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan ini kemudian juga ditolak, tetapi syarikat sama membawa satu lagi saman ke atas entiti yang sama (Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang) hinggalah sekali lagi ditolak oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kuantan, Datuk Mariana Yahya pada 26 Jun lepas (2011).

Keputusannya Mahkamah Tinggi Kuantan memerintahkan bahawa perjanjian antara Badan Perhubungan UMNO Negeri dengan syarikat pembalakan tersebut 'adalah terbatal dan tidak sah dan/atau telah diberhentikan.

'Dan adalah selanjutnya diperintahkan bahawa berkenaan dengan tuntutan balas defendan terhadap plaintif maka hanya tinggal isu ganti rugi sahaja untuk taksiran'.

Perlu dinyatakan bahawa tuntutan syarikat pembalakan sebanyak RM37.13 juta itu adalah berasaskan perjanjian antara syarikat tersebut dengan Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang dan sekarang, mahkamah telah memerintahkan perjanjian tersebut adalah terbatal dan tidak sah.

Ekoran itu, kerajaan negeri mengambil langkah perundangan untuk merujuk isu ini bagi diputuskan mahkamah pada perbicaraan Januari nanti, bagi mengetepikan penghakiman RM37.13 juta itu.

Kes saman yang dibawa oleh kerajaan negeri Pahang ini pula adalah berdasarkan bukti-bukti baru yang timbul, yang sebelum ini tidak ditemui semasa perbicaraan kes asal hingga membawa kepada keputusan mahkamah yang menetapkan syarikat pembalakan itu berjaya memperolehi RM37.13 juta tersebut.

Antara bukti ini termasuklah tentang pelan kawasan yang dikemukakan di mahkamah selama ini, sedangkan pelan yang diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri sejak 5 April 2000 lagi, hanya tertumpu kepada kawasan saki-baki hutan seluas 10,000 ekar sahaja.

"Ini semua kita percaya, diketahui oleh syarikat itu tetapi tidak dipedulikan. Matlamatnya, segera dapatkan wang tuntutan itu dan mewujudkan pelbagai tekanan ke atas kerajaan negeri," kata sumber yang rapat dengan kerajaan negeri.

0 comments:

share2