KUANTAN – Kerajaan negeri Pahang sedang ‘mengintai’ pemaju
projek perumahan rakyat di negeri itu yang gagal menyiapkan projek mengikut
jadual yang ditetapkan.
Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata
tindakan tegas akan diambil terhadap pemaju berkenaan kerana menyusahkan
pembeli yang tidak dapat memasuki rumah baharu mereka mengikut perancangan
asal.
“Kita tidaklah mahu mengambil tindakan secara terburu-buru
kerana ada masa projek itu tidak dapat disiapkan kerana masalah cuaca atau
keadaan tanah yang perlu ditambak dan sebagainya sehingga menyebabkan kelewatan.
“Bagaimanapun, jika mereka gagal siapkan kerana kesilapan
sendiri, tindakan perlu diambil kerana ini melibatkan perihal rakyat,” katanya
kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan dan Serah Kunci Projek
Penempatan Semula Nelayan (PSN) Bunut Rendang di sini, hari ini.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Datuk Seri Dr
Sallehuddin Ishak dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani
negeri Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak.
Wan Rosdy turut mengulangi komitmen kerajaan negeri dalam
melaksanakan projek perumahan mampu milik bagi memastikan lebih ramai rakyat
Pahang dapat memiliki kediaman sendiri seperti PR1MA Pahang, Rumah Makmur dan
terkini, Rumah Rakyat yang harganya lebih rendah daripada harga pasaran.
Mengulas mengenai PSN itu, Wan Rosdy berkata fasa pertama
projek melibatkan pembinaan 154 unit rumah tiga bilik di atas tanah seluas 18
hektar dengan setiap rumah berharga RM35,000 dan menerima kelulusan sijil
menduduki pada 8 Mei lalu.
“PSN bertujuan membantu nelayan kurang berkemampuan yang
selama ini perlu menyewa agar boleh membeli rumah sendiri di perumahan yang
dilengkapi kemudahan infrastruktur dan persekitaran selamat supaya satu
komuniti nelayan boleh dibentuk.
“Kerajaan negeri juga bersetuju supaya PSN ini dikategorikan
sebagai perumahan kos rendah supaya penghuni di sini layak memperoleh pelbagai
manfaat seperti pelepasan cukai duti setem dan deposit pendaftaran meter
elektrik dan air yang rendah,” katanya.
Wan Rosdy juga berterima kasih kepada Agrobank sebagai bank
rasmi pembiaya yang membantu memudah cara syarat dan proses pembiayaan bagi
membuka peluang kepada lebih ramai nelayan memiliki rumah itu.
Kerjasama daripada pihak swasta amat diperlukan dan dihargai
oleh kerajaan negeri dalam usaha membantu meringankan beban kewangan rakyat
kurang berkemampuan, terutamanya dalam situasi pandemik wabak COVID-19 yang
dialami negara, katanya.
SUMBER – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment