ROMPIN: Seramai lima keluarga di Kampung Tekek, Pulau Tioman
bersyukur kerana penantian untuk memiliki rumah baharu akhirnya tercapai.
Empat daripada mereka menerima surat tawaran Projek
Perumahan Rakyat (PPR), manakala satu keluarga menerima kunci rumah PPR
daripada Kerajaan Pahang hari ini.
Penerima kunci rumah, Encik Mohd Yunus Mustaffar, 60,
berkata, dia amat bersyukur dan berterima kasih di atas keprihatinan Kerajaan
Negeri dalam membantunya untuk memiliki rumah baharu.
Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan
Ismail menyerahkan surat tawaran rumah PPR kepada Puan Jamaliah Othman (kiri)
pada majlis ringkas penyerahan surat tawaran dan kunci rumah PPR di Pulau Tioman.
Menurutnya, perasaannya terharu kerana tidak pernah terfikir
dapat rumah baharu berbanding rumahnya lamanya yang sudah rosak.
Katanya, dia yang bekerja sebagai nelayan kecil dapat
membeli rumah itu hasil wang yang dikumpul selama lima tahun.
“Saya ni boleh dikatakan sudah lewat untuk terima kunci
kerana saya penerima fasa pertama. Saya kumpul duit sedikit demi sedikit selama
lima tahun dan selepas PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) saya pun membuat
pembayaran kepada Bahagian Perumahan.
“Alhamdulillah urusannya senang dan tak banyak masalah. Saya
ucapkan terima kasih kepada Kerajaan Pahang, YAB Menteri Besar dan YB Jo (YB
Dato’ Sri Haji Mohd Johari Hussain),” katanya
Penyerahan surat tawaran dan kunci rumah itu dilaksanakan
oleh Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail dalam satu
majlis ringkas sebelum mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan bermula.
Hadir sama YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr
Sallehuddin Ishak; barisan Exco Kerajaan Pahang dan Setiausaha Bahagian
Perumahan Pejabat SUK, YH Dato’ Azlan Mohd Yaman.
Bagi penerima surat tawaran PPR, Puan Jamaliah Othman, 59,
menyifatkan penantiannya selama setahun untuk memiliki rumah itu akhirnya
berbaloi.
Menurutnya keadaan rumahnya yang terletak di laluan utama di
Kampung Tekek tidak berapa sesuai untuk didiami.
“Alhamdulillah dapat juga saya rumah ini. Terima kasih
kepada Kerajaan Pahang kerana membantu saya,” katanya.
Pegawai Bahagian Perumahan Pejabat SUK Pahang (kanan)
menerangkan sesuatu kepada penerima surat tawaran rumah PPR di Pulau Tioman,
Rompin, hari ini.
Sementara itu, YH Dato’ Azlan ketika ditemui menjelaskan
semua penerima rumah ini dipilih berdasarkan keputusan Jawatankuasa Pemilihan
selepas mereka menghantar permohonan.
Menurutnya, penerima pada ada hari ini adalah kumpulan
terakhir daripada 116 penerima rumah PPR di seluruh Tioman.
“Untuk Kampung Tekek ini masih ada tiga lagi kekosongan dan
kita akan tawarkan secepat mungkin,” katanya.
Pada majlis itu juga, Kerajaan Pahang turut menyerahkan
sumbangan khas peralatan sukan angkat berat bernilai RM5,000 kepada Sekolah
Menengah Tekek.
SUMBER -PAHANGMEDIA
0 comments:
Post a Comment