ROMPIN, 22 JULAI 2020: Kerajaan Negeri Pahang meneruskan
pembangunan di Pulau Tioman dengan meluluskan dua projek pembangunan bagi
memastikan infrastruktur di pulau itu dapat memberikan keselesaan kepada
penduduknya.
Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan
Ismail berkata, beberapa masalah yang ada di pulau itu telah pun dibawa oleh
Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia ,Sukan dan Badan-Badan Bukan
Kerajaan Negeri Pahang yang juga Ahli Dewan Negeri Tioman, YB Dato’ Sri Haji
Mohd Johari Hussain ke peringkat Majlis Mesyuarat Kerajaan Pahang.
Beliau berkata, antara yang diluluskan adalah projek bekalan
air luar bandar berjumlah RM34 juta dan naik taraf jeti Kampung Genting
sebanyak RM4.5 juta.
Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan
Ismail bermesra dengan penduduk Pulau Tioman pada majlis ramah mesra bersama
masyarakat pulau itu di Dataran Tiong, malam tadi.
“Selain itu terdapat juga projek-projek lain yang Kerajaan
Negeri senaraikan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 termasuk juga projek-projek
melibatkan Pulau Tioman.
“Antaranya pembinaan masjid baharu Kampung Tekek sebanyak
RM50 juta, bina baharu Masjid Kampung Salang sebanyak RM50 juta serta naik
taraf jeti Kampung Juara sebanyak RM5 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah
Mesra Bersama Masyarakat Pulau Tioman di Dataran Tiong,
Hadir sama YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin
Ishak barisan Exco Pahang serta pegawai kanan Kerajaan Pahang.
Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan
Ismail bermesra dengan penduduk Pulau Tioman pada majlis ramah mesra bersama
masyarakat pulau itu di Dataran Tiong, malam tadi.
YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy juga berkata, bagi tujuan untuk
memantapkan dan melicinkan pentadbiran di daerah Rompin khususnya di Pulau
Tioman, Kerajaan Negeri bercadang untuk membina kompleks pejabat kerajaan,
menempatkan pejabat Lembaga Pembangunan Tioman (TDA), pejabat tanah dan pejabat
agama di pulau itu.
Beliau berkata, ia bagi memudahkan penduduk untuk berurusan
dengan agensi-agensi kerajaan.
Menyentuh mengenai lapangan terbang baharu di Pulau Tioman,
YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, Kerajaan Negeri akan meneruskan projek
itu memandangkan ia sudah lama dirancangkan dan mendapat sokongan sebahagian
besar penduduk di pulau itu.
Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan
Ismail ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Masyarakat Pulau Tioman
di Dataran Tiong, malam tadi.
Beliau berkata, dengan adanya lapangan terbang itu nanti, ia
memberi banyak manfaat kepada Negeri Pahang khususnya di Pulau Tioman
terutamanya peningkatan kemasukan pelancong dan juga memberi peluang pekerjaan
kepada penduduk tempatan.
“Peluang dah ada nak buat airport, pelancong dari luar
datang, penerbangan tanpa henti enam jam tujuh jam. Pesawat Boeing 737 boleh
mendarat di sini.
“Apa yang kita rancang ini bukannya untuk sesiapa tetapi
untuk anak cucu kita,” katanya.
SUMBER -PAHANGMEDIA
0 comments:
Post a Comment