Pages

Tuesday, June 23, 2020

PAHANG `INTAI` PEMAJU PERUMAHAN LEWAT SIAP PROJEK





KUANTAN – Kerajaan negeri Pahang sedang ‘mengintai’ pemaju projek perumahan rakyat di negeri itu yang gagal menyiapkan projek mengikut jadual yang ditetapkan.


Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata tindakan tegas akan diambil terhadap pemaju berkenaan kerana menyusahkan pembeli yang tidak dapat memasuki rumah baharu mereka mengikut perancangan asal.


“Kita tidaklah mahu mengambil tindakan secara terburu-buru kerana ada masa projek itu tidak dapat disiapkan kerana masalah cuaca atau keadaan tanah yang perlu ditambak dan sebagainya sehingga menyebabkan kelewatan.


“Bagaimanapun, jika mereka gagal siapkan kerana kesilapan sendiri, tindakan perlu diambil kerana ini melibatkan perihal rakyat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan dan Serah Kunci Projek Penempatan Semula Nelayan (PSN) Bunut Rendang di sini, hari ini.


Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak.


Wan Rosdy turut mengulangi komitmen kerajaan negeri dalam melaksanakan projek perumahan mampu milik bagi memastikan lebih ramai rakyat Pahang dapat memiliki kediaman sendiri seperti PR1MA Pahang, Rumah Makmur dan terkini, Rumah Rakyat yang harganya lebih rendah daripada harga pasaran.


Mengulas mengenai PSN itu, Wan Rosdy berkata fasa pertama projek melibatkan pembinaan 154 unit rumah tiga bilik di atas tanah seluas 18 hektar dengan setiap rumah berharga RM35,000 dan menerima kelulusan sijil menduduki pada 8 Mei lalu.


“PSN bertujuan membantu nelayan kurang berkemampuan yang selama ini perlu menyewa agar boleh membeli rumah sendiri di perumahan yang dilengkapi kemudahan infrastruktur dan persekitaran selamat supaya satu komuniti nelayan boleh dibentuk.


“Kerajaan negeri juga bersetuju supaya PSN ini dikategorikan sebagai perumahan kos rendah supaya penghuni di sini layak memperoleh pelbagai manfaat seperti pelepasan cukai duti setem dan deposit pendaftaran meter elektrik dan air yang rendah,” katanya.


Wan Rosdy juga berterima kasih kepada Agrobank sebagai bank rasmi pembiaya yang membantu memudah cara syarat dan proses pembiayaan bagi membuka peluang kepada lebih ramai nelayan memiliki rumah itu.


Kerjasama daripada pihak swasta amat diperlukan dan dihargai oleh kerajaan negeri dalam usaha membantu meringankan beban kewangan rakyat kurang berkemampuan, terutamanya dalam situasi pandemik wabak COVID-19 yang dialami negara, katanya.


SUMBER – BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor