PEKAN, 23 Jun -- Rezeki pilihan raya. Itu kesimpulan buat
para peniaga makanan dan buah-buahan di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri
(DUN) Chini, apabila jualan masing-masing meningkat sekali ganda sempena
Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN tersebut.
Bagi mereka, ia bagaikan ‘durian runtuh’ dan disambut rasa
gembira, kerana menambah pendapatan mereka, apatah lagi selepas pendapatan
mereka terjejas sejak tiga bulan lalu berikutan Perintah Kawalan Pergerakan
(PKP), yang terpaksa dilaksanakan kerajaan bagi membendung penularan wabak
COVID-19.
Rizal Mohamed, 41, penebar roti canai dan pemilik gerai
makan pagi di Felda Chini 5, berkata, secara purata pada hari kebiasaannya dia
menjual sekitar 100 keping roti canai namun disebabkan PRK, secara tiba-tiba
permintaan melonjak sekitar 300 keping sehari.
“Memang dalam dua tiga hari ini tak menang tangan menebar
roti. Ada limpahan kebaikan daripada pilihan raya ini... kebanyakannya adalah
pengunjung luar yang mungkin berkempen di Chini. Alhamdulillah, rezeki pilihan
raya,” katanya kepada Bernama.
Rizal yang turut berniaga masakan panas pada sebelah malam
berkata, tempoh berkempen 14 hari calon-calon PRK yang bertanding di Chini akan
akan digunakan peluang sebaik mungkin, untuk mencari rezeki tambahan.
“Peluang ini jarang-jarang berlaku dan insya-Allah kedai
saya akan buka berniaga, sampai habis pilihan raya,” katanya.
Peniaga buah-buahan Norzita Said, 52, menyifatkan kemeriahan
PRK meskipun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP),
sememangnya memberi kesan positif buat dirinya apabila buah-buahan seperti
durian, mangga dan pisang, laku pantas.
Ujar beliau yang merupakan generasi kedua Felda, jika
kebiasaan stok buah-buah mengambil masa hampir seminggu untuk habis dijual,
namun kehadiran ramai petugas bagai memberi rahmat kepadanya.
“Makcik sangat seronok berniaga semasa pilihan raya ini,
sebabnya buah-buah baru dibeli dengan peraih tak sempat nak diperam dalam stor
pun habis dibeli orang,” katanya yang berniaga berhadapan tapak Pasar Tani
Kekal di Bandar Dara Chini.
Sementara itu peniaga menjual menu laksa dan mee kari di
Felda Chini 2 Sahilawati Hassan, 39, berkata, kedatangan pelanggan pada musim
PRK bertambah sekali ganda.
“Bagi saya, rezeki datang dengan berbagai cara. Jadi ini
adalah rezeki pilihan raya. Dalam dua tiga hari ini, lebih 100 mangkuk mee kari
dan laksa dijual sehari, berbanding tak sampai 50 mangkuk pada hari biasa,”
katanya.
PRK DUN Chini, dengan pengundian pada 4 Julai ini,
menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Mohd
Sharim Md Zain, 41, dan dua calon Bebas, Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku
Hussin, 64, dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49.
DUN Chini mempunyai 20,990 pengundi.
SUMBER -- BERNAMA
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor