KUALA LUMPUR, 7 Jun – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT)UMNO,
Mohd Sharkar Shamsudin menzahirkan terima kasih kepada Pakatan Harapan (PH)
kerana memutuskan tidak meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan
Undangan Negeri (DUN) Chini yang dijadualkan pada 4 Julai 2020.
Jelas beliau, dalam keadaan negara masih berperang dengan
penularan pandemik COVID-19, setiap parti politik termasuk calon bebas
seharusnya berjiwa besar dengan tidak bertanding pada PRK berkenaan.
“Cuma apa diharapkan… jangan pula ada calon bebas yang
memutuskan bertanding PRK Dun Chini dan disokong pula oleh pihak-pihak
tertentu. Dalam keadaan negara masih belum bebas dari penularan pandemik
COVID-19, ini bukan masa sesuai untuk pilihan raya diadakan.
“PH diketuai Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah
pun membuktikan mereka lebih mengutamakan kepentingan dan keselamatan negara
serta rakyat mengatasi segalanya.Itu merupakan langkah yang cukup terpuji
diputuskan oleh majlis pimpinan PH diketuai Anwar dan sewajarnya dicontohi,”
katanya dalam catatan Facebook, hari ini.
Tambah Sharkar lagi, apa yang penting dan perlu menjadi
keutamaan semua pihak pada ketika ini adalah keselamatan negara dan rakyat jika
pandemik COVID-19 berjaya diputuskan 100 peratus.
Walaupun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyediakan prosedur
operasi standard (SOP) bagi melaksanakan PRK Chini, namun adakah ia dijamin
selamat 100 peratus dalam melindungi kesihatan dan keselamatan semua pihak
termasuk pengundi? soalnya.
“Jadi, langkah yang wajar dan tepat adalah tiada
pertandingan di PRK Chini dan memberi kemenangan percuma kepada penyandang
kerusi.
“Daripada wang dibelanjakan untuk PRK, adalah lebih wang itu
digunakan untuk kebajikan rakyat yang terkesan teruk ekoran penularan wabak COVID-19.
Ini bukan masa sesuai untuk kita berpolitik, bersama-samalah membantu kerajaan
memutuskan rantaian pandemik COVID-19 demi keselamatan negara dan rakyat secara
keseluruhannya.
“Tunggulah apabila tiba masanya nanti (Pilihan Raya Umum
Ke-15), berlawanlah dan biar rakyat yang menentukan siapa pilihan mereka,”
tegasnya
SUMBER – UMNO Online
0 comments:
Post a Comment