KENYATAAN MEDIA
MENTERI BESAR PAHANG
Saya mohon kerjasama semua pihak – parti-parti politik serta
calon Bebas agar memberi laluan kepada penyandang/calon Barisan Nasional
(BN)/UMNO untuk menang tanpa bertanding pada Pilihanraya Kecil (PRK) Dewan
Negeri (DN) kawasan Chini.
Ini bermakna, PRK DN kawasan Chini khususnya tempoh
berkempen 14-hari bermula Hari Penamaan Calon pada 20 Jun 2020 sehingga Hari
Pengundian pada 4 Julai 2020, tidak perlu diadakan.
Dengan ini dapat mengelakkan pergerakan serta aktiviti
menjelang dan semasa PRK tersebut, yang dibimbangi boleh menyumbang kepada
penularan wabak pandemik COVID-19 yang sedang melanda negara dan dunia
sekarang.
Saranan ini selari dengan pandangan bekas Perdana Menteri,
Tun Dr Mahathir Mohamad yang berkata, sekarang bukan masa sesuai mengadakan
Pilihanraya Umum (PRU) di negara ini berikutan keadaan tidak mengizinkan dan
tumpuan seharusnya diberi kepada usaha mengekang penularan wabak pandemik ini.
“Sesetengah berpandangan, kita wajar adakan pilihanraya
sekarang… Namun sekarang negara tidak bersedia untuk hadapi pilihanraya kerana
kita tidak boleh berkempen, tidak boleh berkumpul dan lakukan apa yang biasa
kita lakukan semasa pilihanraya,” Tun Dr Mahathir dilaporkan berkata oleh
BERNAMA pada persidangan media di Yayasan Kepimpinan Perdana, Kuala Lumpur,
semalam.
Tun Dr Mahathir mungkin lebih menjurus kepada PRU tetapi
seharusnya turut meliputi PRK seperti PRK DN kawasan Chini kerana kedua-duanya
turut melibatkan pergerakan orangramai, yang boleh mengancam kesihatan awam
menerusi jangkitan wabak pandemik ini.
Saranan ini juga selari dengan kenyataan media oleh
Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail hari ini yang
mengumumkan parti tersebut tidak akan meletakkan calonnya bertanding pada PRK
DN kawasan Chini atas alasan serupa.
Dengan tidak mengadakan PRK DN kawasan Chini ini juga boleh
menjimatkan kos yang bakal ditanggung oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR)
kira-kira RM4.3 juta, malah oleh calon-calon serta parti-parti yang bertanding.
PRK ini diadakan susulan pulangnya ke Rahmatullah,
Allahyarham Datuk Seri Abu Bakar Harun lewat malam 6 Mei 2020. Allahyarham
ialah Ahli Dewan Negeri (ADN) kawasan ini yang memenanginya pada tiga
Pilihanraya Umum (PRU) lepas iaitu PRU-PRU tahun 2004, 2008, 2013 dan 2018.
Pada PRU-14 tahun 2018, Allahyarham ‘Datuk Burn’ atau juga
dikenali ‘Ayah Ngah’ dalam kalangan penduduk; memenangi kerusi DN ini dalam
pertandingan tiga (3) penjuru dengan majoriti besar, 4,622 undi.
Allahyarham meraih 10,027 undi berbanding calon PAS ketika
itu, memperolehi 5,405 undi. Seorang lagi calon dari PKR cuma mendapat 1,065
undi lalu hilang wang pertaruhan (kerana gagal mendapat minimum 1/8 daripada
jumlah undian).
Oleh kerana kini, BN menjalin kerjasama erat dengan PAS
dalam Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN), dan PAS sendiri
meminta kerusi DN kawasan Chini tidak dipertandingkan; ia akan memberi peluang
kepada calon BN/UMNO untuk menang lebih besar lagi.
Apa yang saya katakan ini tidaklah bermakna BN/UMNO bersikap
riak atau takabbur tetapi sekadar menyatakan realiti semasa. Oleh itu, lebih
munasabh dan praktikal jika parti-parti lain termasuk calon bebas atau
mana-mana calon tajaan, supaya tidak bertanding.
Saranan ini mungkin dilihat tidak demokratik tetapi inilah
penyelesaian terbaik dalam pada negara dan negeri ini masih dibelenggu dengan
penularan wabak pandemik COVID-19 yang menggerunkan.
DATO’ SRI WAN ROSDY WAN ISMAIL
Menteri Besar Pahang/Pengerusi BN Pahang
6 Jun 2020
0 comments:
Post a Comment