Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, June 3, 2020

JASA MAT AKHIR AWANG DIKENANG PENDUDUK JENGKA SATU TIADA HUJUNGNYA



MARAN - Seandainya tokoh kampung ini ibarat sang harimau sudah tentu belangnya akan dikenang orang dan namanya disebut-sebut apabila sudah tiada di dunia fana ini.


Itulah kriteria hebat pemimpin Kampung Anggerik Jengka 1, Mohd Akhir Awang,63, yang sudah sampai titik noktah untuk menabur jasa kepada masyarakat yang dipimpinnya.


Mohd Akhir menghembuskan nafas terakhir pagi kelmarin di sisi anak dan isterinya selepas menderita strok sejak lima bulan lalu.


Allahyarham yang berasal dari Kampung Pulau Tawar dilantik menjadi Ketua Kampung Felda Jengka 1 selama hampir 30 tahun sehinggalah meninggalkan banyak legasi dan jasanya kepada penduduk.


Antara sikap Allahyarham Mohd Akhir ialah dia sentiasa berterus terang dalam menyuarakan pendapat berkaitan dengan kepentingan masyarakat Felda.


Walaupun mungkin ada yang tersinggung dengan sikap berterus terang allahyarham tetapi pada hakikat banyak isu yang dibangkitkan dapat diselesaikan lebih cepat.


Allahyarham pernah berkata kepada penulis bahawa kita sebagai pemimpin akar umbi perlu berani dan tegas dalam menyuarakan pendapat.


Ini kerana ujarnya, suara tegas dan berfakta lebih mudah mendapat respon pegawai sesuatu agensi berbanding nada ihsan dan lembut mungkin tidak sesuai dengan situasi.


Exco Pahang Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin ketika berziarah ke rumah Allahyarham berkata, masyarakat tidak akan melupakan jasa dan pengorbanan Mohd Akhir dalam tempoh hampir 30 tahun sebagai ketua kampung.


"Mohd Akhir bukan sahaja aktif dalam bidang kemasyarakatan tetapi juga dalam politik UMNO dan penyokong kuat kerajaan dari dulu kini dan selamanya," katanya.


Bagi Pemangku Ketua kampung Jengka 1, Abdullah Ani,64, seluruh masyarakat Felda khususnya Jengka 1 terhutang budi terhadap jasa Allahyarham Mohd Akhir Awang ketika berkhidmat.


Menurutnya, Allahyarham Mohd Akhir adalah pemimpin ketiga di tanah rancangan itu selepas Mohd Nen Kasim dan Allahyarham Bakar Isa yang berkhidmat cemerlang berbakti kepada penduduk Jengka 1.


Dalam pada itu, Ketua Kampung Felda Ulu Jempol Idris Shah Musa,60, berkata, Felda Anggerik Jengka 1 adalah rancangan pertama daripada 37 rancangan menjadi model kepada rancangan baru.


"Pemimpin di tanah rancangan itu termasuk Mohd Akhir telah berjaya membina sebuah masyarakat peneroka yang makmur, maju dan bersyukur," katanya.


Disamping itu Mohd Akhir sering menggunakan akhbar arus perdana seperti Utusan Malaysia ketika itu untuk menyuarakan pelbagai isu khususnya berkaitan kepentingan Felda,"katanya.


Sementara itu, Ketua kampung Kuala Sentol, Mohd Asri Mat Piah,57, mengakui tahap kepimpinan Mohd Akhir boleh dijadikan contoh kepada orang lain untuk memakmurkan kampung dan rancangan.


Ini kerana ujarnya, Mohd Akhir sentiasa menjalin hubungan baik dengan semua peringkat umur di tanah rancangan, pegawai Felda dan guru-guru sekolah.


"Mohd Akhir antara pemimpin akar umbi memegang banyak jawatan seperti pengerusi PIBG SK (LKTP) Jengka Satu, Pengerusi PIBG SMK Jengka 10 dan Ketua UMNO Cawangan Jengka 1 ( B),"ujarnya.



OLEH : Salehudin Mat Rasad
SUMBER: PAHANG STORY

0 comments:

share2