Ramadan sentiasa dinantikan oleh seluruh umat Muhammad SAW
saban tahun.
Namun, Ramadan 1441H kali ini disambut sedikit berbeza
berbanding sebelum ini berikutan pandemik COVID-19 dengan rakyat Malaysia perlu
mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kini PKP Bersyarat.
Jika dahulu malam pertama Ramadan, masjid dan surau dipenuhi
umatnya tanpa mengira usia dan golongan bagi menunaikan solat tarawih
bersama-sama. Namun, kali ini solat tarawih hanya boleh dilakukan di rumah atau
tempat masing-masing.
Menariknya solat tarawih kali ini setiap keluarga akan
diimamkan ketua keluarga ataupun ahli keluarga yang lain. Ada juga kali ini
solat tarawih diimamkan oleh hafiz-hafiz cilik. Masya-Allah...Tanpa kita
sedari, ketika ini madrasah Ramadan telah terbentuk dalam setiap keluarga.
Ini sejajar dengan firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan
orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak
agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang
menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan), dan sesungguhnya
(pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha
membaiki amalannya.” (Surah al-Ankabut, ayat 69)
Ramadan adalah bulan ibadah, bulan mujahadah, bulan adanya
lailatulqadar dan bulan al-Quran. Jika diperhatikan, ibu ayah yang bekerjaya
dapat merebut peluang untuk bertadarus dengan anak-anak semasa tempoh PKPB ini.
Kalau sebelum ini, waktu seharian sangat terhad untuk diluangkan bersama ahli
keluarga kini mereka dapat menghafal surah-surah tertentu selain bertadabbur
ayat-ayat al-Quran atau bertadarus secara dalam talian.
Walaupun COVID-19 sedikit sebanyak merubah norma kehidupan
masyarakat secara umumnya namun, amalan bertadarus secara dalam talian itu
boleh merapatkan hubungan rakan-rakan yang sekian lama terputus disebabkan
sibuk dengan tanggungjawab masing-masing. Dalam pada itu, terdapat juga
kumpulan tadarus dalam talian yang terdiri rakan-rakan alam maya.
Serba sederhana
Setiap tahun, bazar Ramadan pasti sesak dengan pengunjung
yang mencari juadah berbuka puasa. Namun, Ramadan versi pandemik ini ternyata
berbeza selepas kerajaan melarang ia diadakan bagi mengelak penularan jangkitan
virus. Tetapi, jualan juadah berbuka secara dalam talian pula semakin hebat.
Tidak kurang juga yang menggunakan media sosial seperti
Facebook, Twitter, Instagram untuk mendapatkan pelbagai resipi untuk dicuba
atau berkongsi resipi berkenaan bersama rakan-rakan di media sosial. Perubahan
baharu itu dilihat membawa manfaat apabila ramai yang memasak sendiri di rumah
sekali gus mengelak berlakunya pembaziran makanan atau terlebih berbelanja di
bazar Ramadan sebelum ini. Ini pastinya selari dengan firman Allah yang
bermaksud: "Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara
Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada
Tuhannya" Surah Al-Isra':27.
Sudah pasti, musim Ramadan dan Syawal kali ini mengajar
ramai daripada kita untuk bersederhana dalam segala serbi kerana musibah
pandemik COVID-19 belum menunjukkan pengakhirannya memandangkan vaksin untuk
virus korona mengambil masa yang lama untuk diuji. Justeru itu, adalah lebih
baik kita mula berjimat cermat dari sekarang sebagai persediaan hari mendatang.
Saling membantu
Pandemik COVID-19 yang menggerunkan dunia mendidik manusia
menzahirkan sifat kasih sayang, saling membantu antara satu sama lain. Pada
saat ini, ramai yang mengambil peluang bersedekah kepada golongan yang
memerlukan seperti orang miskin, ibu tunggal dan mereka yang memerlukan.
Malah, Ramadan versi Pandemik COVID-19 menampilkan golongan
hartawan menginfakkan harta mereka ke jalan kebaikan. Perbuatan ini bertepatan
dengan surah Saba’, ayat 39 yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad):
“Sesungguhnya, Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya di
antara hamba-hamba-Nya dan Dia juga yang menyempitkan baginya. Dan apa saja
yang kamu dermakan, maka Allah akan menggantikannya dan Dialah juga sebaik-baik
pemberi rezeki.”
Tidak terkecuali juga ada golongan yang mengambil peluang
menjadi saluran bagi menghulurkan bantuan. Mereka mengumpul wang sumbangan
orang ramai, seterusnya membeli barangan keperluan dan mengedarkan kepada
golongan yang memerlukan. Ada juga yang mengumpul sumbangan orang ramai untuk
digunakan membeli barangan dan menyediakan makanan bagi para petugas barisan
hadapan berbuka puasa.
Indahnya Ramadan kali ini. Walaupun berada dalam musim
pandemic, ramai insan berhati mulia meringankan tulang membantu golongan yang
memerlukan selaiin mencari pahala syurga.
Syukur seadanya kerana Ramadan kali ini menyaksikan umat
Islam masih dapat mengamalkan amal ibadat dengan selesa. Semoga Ramadan versi
COVID-19 ini adalah yang terbaik buat kita semua. Sama-samalah kita manfaatkan
Ramadan ini sebaiknya kerana barang kali ia adalah yang terakhir buat kita.
Wallahua'lam.
SUMBER --BERNAMA
Oleh : Noor Adawiyah Ahmad Radzi
Noor Adawiyah Ahmad Radzi ialah Pensyarah Bahasa Arab di
Fakulti Bahasa dan Pendidikan, Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM)
0 comments:
Post a Comment