KUALA LUMPUR, 18 Mei – Tatkala negara masih lagi berjuang
memerangi wabak COVID-19 dan impaknya, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah
Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah fokus utama kerajaan ketika ini
adalah untuk memastikan kesejahteraan dan keselamatan rakyat terlebih dahulu
sentiasa terjamin dan terbela.
Seri Paduka bertitah ini termasuk dengan melaksanakan
perintah kawalan pergerakan dan membantu membawa pulang rakyat Malaysia yang
terperangkap di luar negara.
Al-Sultan Abdullah yakin dalam berhadapan dengan wabak ini
kerajaan akan terus berusaha meminimumkan kesan buruk terhadap rakyat dan
negara.
“Sesungguhnya, negara kita sedang berhadapan dengan pelbagai
cabaran, yang terbaru penularan wabak COVID-19. Semua cabaran ini telah memberi
kesan kepada Malaysia yang mengamalkan ekonomi terbuka.
“Kedatangan wabak COVID-19 yang melanda dunia dan negara
telah turut memberi kesan pada ekonomi serta kesihatan dan kehidupan rakyat
jelata. Belum pernah negara berhadapan dengan wabak yang sebegini serius
sebelum ini,” titah Seri Paduka pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal
Ketiga Parlimen ke-14, di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen hari ini,
Menyempurnakan istiadat pembukaan persidangan Parlimen yang
diadakan dalam suasana agak berbeza daripada norma dan kelazimannya dengan
keutamaan penjarakan sosial ekoran wabak COVID-19, Al-Sultan Abdullah bertitah
bahawa perkara sama akan berlaku dalam bidang pendidikan di era pascaCOVID-19.
Dalam Titah Diraja itu, Seri Paduka bertitah pelaburan dalam
penyelidikan perlu ditingkatkan termasuk pembangunan dan inovasi agar dapat
menyediakan modal insan yang diperlukan khususnya dalam bidang sains,
teknologi, kejuruteraan dan matematik.
“Beta juga amat menyokong pemerkasaan pendidikan dan Latihan
Teknikal dan Vokasional atau TVET untuk mempersiapkan golongan belia menghadapi
cabaran baharu alam pekerjaan,” titah Seri Paduka.
Dalam titah kira-kira 30 minit, Seri Paduka turut menyentuh
isu pelancongan negara yang disebabkan wabak berkenaan, Tahun Melawat Malaysia
2020 terpaksa dibatalkan
“Usaha-usaha bagi memulihkan sektor pelancongan negara
hendaklah diteruskan. Pada masa sama, pemain industri pelancongan hendaklah
berusaha memperkukuhkan produk dan pakej pelancongan serta menjaga
infrastruktur sedia ada bagi mengembalikan semula kecemerlangan sektor
pelancongan negara.”
Menyentuh isu kebajikan rakyat melibatkan kanak-kanak,
wanita, warga emas, orang kurang upaya dan golongan yang memerlukan, selain isu
infrastruktur asas, pemilikan rumah, kos sara hidup dan pertanian, Al-Sultan
Abdullah bertitah bahawa ia akan terus diberi perhatian kerajaan.
“Kerajaan beta turut beriltizam untuk terus meningkatkan
akses perkhidmatan kesihatan yang saksama kepada rakyat.
“Perkhidmatan kesihatan akan diperkasa dengan menjurus
kepada pencegahan dan perawatan secara holistik termasuk kepada masyarakat luar
bandar, Orang Asli serta peribumi di Sabah dan Sarawak,” titah Seri Paduka.
Yang di-Pertuan Agong turut menyeru supaya Malaysia terus
komited dalam usaha mengetengahkan isu alam sekitar dan perubahan iklim dan
terus melaksanakan pemerkasaan undang-undang alam sekitar, aktiviti
penguatkuasaan dan kerjasama erat dengan semua pihak termasuk negara serantau.
Sebelum mengakhiri Titah Diraja, Seri Paduka turut
menzahirkan penghargaan terhadap sumbangan anggota Perkhidmatan Awam, Angkatan
Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia serta agensi kerajaan yang telah
mencurahkan khidmat bakti dalam memajukan negara sehingga menjadikan Malaysia
sebuah negara yang aman, makmur dan disegani
“Beta amat menghargai taat setia dan sumbangan ...beta juga
menyeru agar amanah dan tanggungjawab yang dijunjung dalam berbakti kepada
negara dan rakyat jelata hendaklah terus dilaksanakan dengan sebaiknya secara
profesional dan neutral tanpa mengira kaum, agama mahupun kedudukan.
“Pada masa sama, beta menyeru rakyat jelata terus memberikan
kerjasama kepada kerajaan beta bagi meneruskan kesinambungan usaha-usaha
pembangunan negara,” titah Seri Paduka.
SUMBER -- BERNAMA
0 comments:
Post a Comment