Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, April 1, 2020

SUDAH ADA TANDA KEJAYAAN PUTUS RANTAIAN COVID-19 : NOOR HISHAM



PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi bayangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan 2 minggu lalu menampakkan hasil dalam memutuskan rantaian Covid-19.


Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perkiraan itu dibuat berdasarkan graf jumlah positif Covid-19 yang mendatar dan tidak menunjukkan peningkatan mendadak.


Katanya, trajektori jumlah kes positif Covid-19 yang direkodkan adalah lebih rendah daripada yang diunjurkan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) yang meramalkan kenaikan mendadak berterusan dalam bilangan kes baru, namun sebaliknya berlaku.


“Tindakan kita untuk tempoh 2 minggu dalam fasa pertama PKP kita lihat kes (positif) tidak naik secara mendadak tapi mendatar, jadi nampak daripada graf itu ada kejayaan ataupun tanda-tanda awal dalam kita melaksanakan PKP.

  
“Jadi kita harap, fasa ke-2, kita dapat pertingkat strategi dan aktiviti kita terutamanya di kawasan ‘hotspot’ yang dikenal pasti dan kalau ada kes naik mendadak di kawasan tersebut kita akan laksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD),


“Kemudian kita akan saring semua orang dan akan asingkan mereka untuk dirawat,” katanya semasa sidang media di KKM hari ini ketika ditanya adakah fasa pertama PKP berjaya.


Noor Hisham bagaimanapun memaklumkan, masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan jangkitan Covid-19 dapat dikawal dengan sepenuhnya, kerana fasa 2 PKP ini memerlukan kepatuhan rakyat sangat tinggi bagi memastikan wabak tidak terus menular.


“Apa yang penting, setiap kita kena perketat amalan, duduk di rumah, kerap basuh tangan dan amalkan jarak 1 meter.


“Kalau kita boleh terus laksanakan itu, kita boleh bawa kejayaan, ramai yang mula terkesan dengan Covid-19 dengan berlaku perubahan tingkah laku, termasuk tidak bersalam, ini amalan kita sekarang,” katanya sambil berharap graf jangkitan baru dapat dikurangkan dalam tempoh 2 minggu terakhir PKP.


Terbaru, 2 kes kematian Covid-19 dilaporkan hari ini, menjadikan keseluruhan mangsa yang meninggal dunia seramai 45 orang.


Sebanyak 142 kes jangkitan baru dilaporkan hari ini berbanding 140 semalam dan jumlah positif setiap hari mendatar menjadikan jumlah mangsa 2,908 orang sehingga kini.


Dalam pada itu, seramai 108 mangsa jangkitan Covid-19 pulih dan dibenarkan keluar wad hari ini, yang tertinggi dalam sehari setakat ini, menjadikan bilangan pesakit yang sembuh 645 orang sehingga kini.


Fasa ke-2 PKP bermula hari ini dan berakhir pada 14 April depan.



Sebanyak 3 kawasan dikenakan perintah PKPD iaitu di Simpang Renggam, Johor; Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor dan Menara City One, Kuala Lumpur.


SUMBER : 

0 comments:

share2