KUANTAN, 14 APRIL 2020: Kuantan masih berada dalam keadaan
terkawal berikutan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang baik di
kalangan penduduk walaupun tujuh lokasi telah dilabelkan dalam zon merah kerana
memiliki taburan kes positif COVID-19 yang agak tinggi, kata Pengarah Majlis
Keselamatan Negara (MKN) Negeri Pahang, Encik Zairasyahli Syah Zakaria.
Menurutnya, Perintah Kawalan Pergerakan Diperkasakan
dilaksanakan di kawasan tersebut bagi tujuan memantau kaedah kuarantin di rumah
dipatuhi dan secara tidak langsung dapat mengawal penularan wabak tersebut
daripada menular ke kawasan lain.
“Bagaimanapun, pada waktu ini Kerajaan Negeri Pahang masih
tidak menetapkan konsep Perintah Kawalan Pergerakan Diperkasakan dilaksanakan
di kawasan-kawasan lain dalam daerah Kuantan.
“Penentuan kawasan yang terlibat dengan PKPD juga bergantung
kepada penilaian Jabatan Kesihatan Negeri dari semasa ke semasa,” katanya
ketika dihubungi bagi temubual eksklusif di Radio RTM, PAHANGfm pagi ini.
Sementara itu, beliau turut meminta agar rakyat di negeri
ini lebih bertanggungjawab dalam menyebarkan sebarang berita yang tidak dapat
dipastikan kesahihannya.
“Saya berharap orang ramai tidak berlumba-lumba menyebarkan
berita yang belum tentu sahih sehingga mengelirukan orang lain. Hentikan sebar
berita palsu, viral yang tidak benar hanya kerana mahu menjadi pelapor terawal,
jika terima sebarang maklumat atau berita sila semak dulu.
“Tindakan itu boleh menimbulkan panik atau tekanan kepada
orang ramai, malah menyusahkan pihak berkuasa yang sibuk bertugas memastikan
penguatkuasaan PKP dilaksanakan dengan baik,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut berharap agar orang ramai dapat
memberi kerjasama mematuhi peraturan dan PKP Fasa 3 yang disambung bermula esok
bagi memastikan rantaian COVID-19 dapat diputuskan dengan jayanya.
“Bagaimanapun, kita sentiasa bersedia dengan apa jua
kemungkinan termasuk jika kita perlu menyambung PKP bagi fasa seterusnya. Jika
kita mahu ia berakhir, kerjasama semua pihak amat diperlukan.
“Besar harapan saya termasuk semua petugas barisan hadapan
negara untuk melihat musuh yang tak dapat dilihat ini berjaya ditumpaskan. Kita
boleh capai hasrat ini dengan terus mematuhi arahan PKP, duduk di rumah serta
meningkatkan tahap empati masing-masing melihat kesukaran semua pihak yang
tidak kenal penat lelah berhadapan ancaman COVID-19 sehingga hari ini,”
katanya.
SUMBER : PAHANGMEDIA
0 comments:
Post a Comment