Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, March 27, 2020

PAHANG TAK BENAR PENDUDUK KELUAR MASUK SESUKA HARI : SUK




KUANTAN - Kerajaan Pahang bertegas untuk memastikan mana-mana pihak yang tiada alasan kukuh untuk keluar atau masuk ke ke negeri ini susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).


Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak berkata, pihaknya memandang serius isu keluar masuk ke negeri ini dalam usaha membantu memutuskan rangkaian jangkitan pandemik koronavirus (Covid-19).


Beliau yang juga Pengerusi Pengurusan Bencana Peringkat Negeri Pahang berkata, pihaknya telah meminta polis yang mengawal sempadan negeri ini untuk menahan atau menyuruh pulang mereka yang tiada alasan kukuh untuk ke Pahang.


"Memang kita mengkehendaki polis mengetatkan kawalan. Kita meminta polis yang membuat sekatan jalan raya di sempadan negeri memastikan sesiapa masuk ke Pahang ini dengan sebab. Kalau tak ada sebab munasabah kita tidak benarkan.


"Masyarakat perlu faham Perintah kawalan Pergerakan ini, sesiapa pun tidak boleh bergerak sesuka hati. 


"Hanya urusan rasmi, urusan perniagaan yang tak dapat dielakkan yang dibenarkan dalam tempoh ini sahaja dibenarkan masuk. Yang tidak berkaitan kita tak benarkan, malah polis telah pun mula membuat penangkapan dan ada yang dihadapkan ke mahkamah," katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri lawatan ke stesen pembikinan peralatan perlindungan diri (PPE) di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.


Mengulas lanjut, Sallehuddin berkata, pasukan perubatan dan kesihatan negeri ini dijangka memerlukan sejuta set PPE dalam tempoh menghadapi cabaran menangani pandemik Covid-19.


Jelasnya, walaupun Kementerian Kesihatan (KKM) memberi jaminan PPE akan ditambah dan dibekalkan, namun kerajaan negeri menerusi inisiatif lima badan bukan kerajaan (NGO) hari ini berganding bahu menyiapkan set PPE buatan sendiri untuk kegunaan petugas kesihatan.


Ia melibatkan pakaian, pelindung muka, penutup kepala, gaun dan penutup kaki yang jika dibeli di luar boleh mencecah RM250 sepersalinan.


"Kerajaan Pahang menyediakan barangan manakala NGO terlibat menyiapkannya bermula proses menggunting, menampal, menjahit dan selanjutnya sehingga siap.


"Dengan penyertaan lebih 50 sukarelawan setiap hari, kita menyasarkan 1,000 set PPE dapat disiapkan sehari dan terus diserahkan kepada wakil Jabatan Kesihatan Negeri Pahang. Set PPE ini telah mendapat garis panduan dan spesifikasi daripada JKNP sendiri," katanya.


NGO dan persatuan yang terlibat ialah Pandu Puteri, Puteri UMNO, Persatuan Keluarga Polis (Perkep), Pengakap dan Persatuan Isteri, Anak dan Anggota Serta Kakitangan Wanita Penjara Malaysia Negeri Pahang (Persiap).



SUMBER: SINAR HARIAN 

0 comments:

share2