Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, February 12, 2020

USAHA BERSEPADU NGO, JKKK DAN KRT PERLU BAGI KAWALAN DENGGI




KUANTAN : Kerajaan Pahang menggalakkan penglibatan pelbagai agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) untuk sama-sama terlibat aktif dalam usaha mengurangkan penularan virus denggi.


Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB Encik Abd Rahim Muda berkata, usaha bersepadu ini adalah perlu bagi memastikan kesejahteraan dan kesihatan rakyat terjamin daripada penyakit yang boleh mengancam nyawa manusia itu.


"Semua pihak terutamanya penduduk harus bertanggungjawab dalam memastikan kawasan rumah mereka bersih dan bebas daripada pembiakan nyamuk aedes.


"Saya juga meminta agar mereka menggerakkan program 10 minit dengan memeriksa kawasan persekitaran untuk mencari dan memusnahkan lokasi yang berisiko menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes," katanya.


Beliau berkata demikian pada Sidang Media Selepas Operasi Gempur Denggi di kawasan sekitar Sungai Isap, di sini, hari ini.


Operasi terbabit melibatkan seramai 100 anggota daripada tujuh agensi iaitu Unit Penguatkuasan Negeri Pahang (UPNP), PejabatKesihatan Daerah, Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), SWCorp, Pejabat Tanah dan Galian Kuantan, Alam Flora dan JKKK serta KRT kawasan setempat.


Dalam operasi bersepadu yang berlangsung selama 4 jam itu sebanyak 86 buah rumah diperiksa dengan tujuh notis kompaun bernilai RM3,500 telah dikeluarkan.


Sementara itu, YB Encik Abd Rahim berkata, operasi bersepadu ini akan diteruskan ke beberapa lokasi lain dengan mengambil tindakan serius dalam mencegah denggi di peringkat negeri.


Tambahnya, usaha ini perlu diperkasakan ekoran kenaikan jumlah peningkatan kes denggi di negeri ini daripada 150 kes pada 2019 kepada 460 kes pada 2020 dalam tempoh yang sama.


SUMBER:   Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP)
#MajuTerusPahang

#Pahang1st

0 comments:

share2