Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mendokong sepenuhnya
pendirian kepimpinan tertinggi UMNO bersama rakan Muafakat Nasional PAS, dan
Barisan Nasional MCA, MIC dan PBRS untuk memohon perkenan KDYMM Seri Paduka
Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah
Shah agar mempertimbangkan untuk Parlimen dibubarkan.
Sokongan Pemuda UMNO adalah berpandukan kepada 5 ASAS
berikut:
1. Kemelut politik negara yang berpunca daripada runtuhnya
Kerajaan Pakatan Harapan setelah 21 bulan memerintah, disebabkan perbalahan
kronik dalaman sesama kepimpinan parti-parti komponen PH mengenai peralihan
kuasa jawatan Perdana Menteri merupakan suatu yang amat memalukan dalam sejarah
politik tanahair.
2. Kegagalan Tun Mahathir mengurus hanya empat parti komponen
PH, memperkukuhkan lagi kewajaran untuk tidak diberikan kepercayaan sekali lagi
untuk menerajui apa yang dicadangkan Tun Mahathir untuk membentuk Kerajaan
Perpaduan.
3. Suara rakyat tidak sesekali boleh diketepikan hanya untuk
memenuhi hawa nafsu beberapa kerat individu yang rakus untuk berkuasa dan
menduduki kerusi Perdana Menteri sehinggakan tercetusnya krisis politik yang
memudaratkan negara ketika ini.
4. Dasar-dasar dan polisi-polisi Kerajaan PH sebelum ini
yang ternyata gagal dalam mensejahterakan rakyat baik dari segi ekonomi, kos
sara hidup yang kian meruncing, pentadbiran, kedaulatan undang-undang (Rule of
Law) dan hubungan luar negara, memerlukan mandat baru daripada rakyat.
5. Kegagalan Kerajaan PH sebelum ini menguruskan isu-isu
yang menyentuh sensitiviti Agama, keharmonian antara kaum dan
institusi-institusi teras negara termasuk institusi Raja-Raja Melayu, cukup
meresahkan rakyat selama 21 bulan PH memerintah.
Justeru berasaskan 5 perkara di atas, Pergerakan Pemuda UMNO
Malaysia berpendirian betapa perlunya mandat dikembalikan semula kepada rakyat
untuk memilih kerajaan baharu dengan barisan kepimpinan negara yang tidak lagi
sewenang-wenangnya memperjudikan nasib mereka hanya kerana perebutan ‘takhta’
kerusi Perdana Menteri.
Kami dengan ini rendah diri memohon limpah perkenan KDYMM
SBP Yang di-Pertuan Agong agar mempertimbangkan untuk Parlimen dibubarkan bagi
membolehkan mandat baharu diperolehi daripada rakyat melalui Pilihanraya Umum.
Dr Asyraf Wajdi Dusuki
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO
0 comments:
Post a Comment