Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, January 20, 2020

[KUANTAN] POLIS USAHA BANTERAS SAMSENG JALANAN







Polis Pahang akan memberi fokus terhadap usaha membanteras gejala samseng jalanan sepanjang Ops Selamat 16 sempena sambutan perayaan Tahun Baru Cina.

Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, usaha itu bertujuan mengurangkan kegusaran orang ramai terutama pengguna jalan raya.

Menurutnya, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri dan daerah akan meningkatkan operasi secara bersepadu dengan agensi penguat kuasa lain termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

"Kita sudah mengenal pasti lokasi tumpuan samseng jalanan atau mat rempit ini. Ini juga sebagai mendidik penunggang motosikal supaya mematuhi peraturan dan mempunyai lesen memandu yang sah, mengunakan kenderaan yang selamat, memakai topi keledar dan tidak menjadikan jalan raya sebagai 'litar' untuk beraksi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Ops Selamat 16 sempena Perayaan Tahun Baru Cina peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Kuantan di sini hari ini.

Turut Hadir, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Datuk Abdul Aziz Salleh; Ketua JSPT negeri, Superintendan Kamarulzaman Jusoh@Mohamad Daud dan Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali.

Mohd Yusri berkata, pihaknya turut memberi tumpuan terhadap aspek keselamatan jalan raya secara bagi mengurangkan kadar kemalangan khususnya kemalangan maut di negeri ini.

"Kita akan menumpukan kepada enam kesalahan utama iaitu memandu melebihi had laju, memotong di garisan berkembar, memotong barisan, melanggar lampu isyarat merah, memandu di lorong kecemasan dan menggunakan gajet semasa memandu.

"Bagi kesalahan ini, mereka yang yang ditahan akan dikenakan saman mandatori RM300 serta-merta," katanya.

Menurutnya, operasi sama turut memberi tumpuan kepada keselamatan persekitaran bagi memastikan kediaman atau premis yang ditinggalkan berada dalam keadaan selamat.

"Orang ramai perlu memainkan peranan menjaga keselamatan premis masing-masing dan bukan meletakkan tanggungjawab itu kepada pihak berkuasa semata-mata.

"Justeru mereka yang berhasrat untuk bercuti dan meninggalkan kediaman diminta memaklumkan kepada polis melalui kemudahan borang balik kampung atau aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP),"katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan membuat pemantauan kediaman yang ditinggalkan melalui rondaan supaya selamat dan tidak menjadi mangsa penjenayah.


0 comments:

share2