Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, December 16, 2019

BIASISWA SEKOLAH RENDAH YAYASAN PAHANG RINGAN BEBAN



BIASISWA SEKOLAH RENDAH YAYASAN PAHANG RINGAN BEBAN


“Kurang sedikit beban saya untuk sediakan persiapan sekolah anak-anak,”kata Maimel Ismail ketika ditemui selepas Majlis Moh Ke Sekolah Serta Penyampaian Bantuan Persekolahan Yayasan Pahang Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau di Kuala Krau, hari ini.

Maimel, 34, yang merupakan Orang Asli dari Kampung Paya Taram mengakui merasa lega dan bersyukur apabila dua anaknya menerima Biasiswa Sekolah Rendah (BSR) daripada Yayasan Pahang.

“Saya bekerja sebagai penoreh sahaja, bila musim hujan macam sekarang memang saya cukup risau dengan duit untuk sekolah anak-anak.

“Tapi dengan bantuan yang dapat hari ini, dapatlah saya beli baju sekolah, beg dan kasut serta alat tulis anak-anak,” katanya.

Program Moh Ke Sekolah ini dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pelajaran dan Kesihatan Negeri Pahang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kerdau, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad.




Turut hadir Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), YH. Dato’ Syed Ahmad Fuad Syed Taha; Pegawai Daerah Temerloh, YH. Dato’ Razihan Adzharuddin dan Ketua Pegawai Korporat Yayasan Pahang, YBhg. Encik Airulamri Amran.

Nurul Ain Maimel, 11, pelajar SK Paya Taram menyatakan perasaan gembira kerana pertama kali menerima bantuan BSR ini.

“Cikgu beritahu suruh datang ke sini hari ini sebab dapat biasiswa daripada Yayasan Pahang. Saya cadang nak guna beli pakaian dan alatan untuk sekolah tahun depan,” katanya.

Sementara itu, pasangan kembar Nurul Aina Kahar dan Shafiq Haikal, 11, yang juga Orang Asli memberitahu mereka memang menantikan bantuan ini.

“Saya dapat BSR ini dari Tahun Empat lagi, jadi memang tunggu duit ini untuk beli alat tulis dan bayar apa-apa yang perlu bila sekolah buka nanti.

“Duit yang kami dapat ini juga dapat bantu keluarga kerana duit yang ada boleh diguna untuk perkara lain,” kata mereka.

Terdahulu, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim dalam ucapan perasmiannya berkata, bantuan ini adalah salah satu langkah Kerajaan Negeri membantu rakyat di negeri Pahang dari zaman dalu lagi.

“Ini (bantuan BSR) merupakan tradisi mengagihkan rezeki yang kita (Kerajaan Negeri) ada daripada sumber-sumber Kerajaan Negeri.

“Kita (Kerajaan Negeri) tidak mendahulukan kepentingan peribadi tetapi mendahulukan kepentingan anak-anak di negeri Pahang untuk diutamakan dan disejahterakan,” katanya.

Seramai 360 murid tahun empat hingga tahun enam daripada 14 buah sekolah di sekitar DUN ini telah menerima bantuan daripada Yayasan Pahang.


0 comments:

share2