Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, February 13, 2019

SYARIKAT MODAL RM2 TANPA PEJABAT OPERASI DAPAT TANAH SERIBU EKAR





UMNO Perak mendesak kerajaan negeri menjawab beberapa persoalan dengan penjelasan yang telus berhubung isu pemberian tanah hutan seluas seribu ekar kepada syarikat yang bermodalkan RM2.

Menurut Pengerusinya, Datuk Saarani Mohamad, UMNO Perak memandang serius pendedahan demi pendedahan berhubung pengurusan khazanah hutan di negeri tersebut yang seolah-olah kini menjadi bahan dagangan politik.

“Pertama, bagaimana sebuah syarikat yang bermodalkan RM2 boleh mendapat tanah hutan sehingga seribu ekar malah syarikat berkenaan tidak mempunyai pejabat operasi.

“Kita membuat semakan dengan SSM (Suruhanjaya Syarikat Malaysia) dan kita mendapati mereka menggunakan sebuah alamat di Taiping dan bila kita semak rupa-rupanya alamat itu adalah pejabat guaman di Taiping dan bukan syarikat yang menjalankan kerja-kerja pembalakan.

“Nama syarikat itu ialah NJ Development Sdn Bhd dialamatkan di No. 96, Tingkat 1, Jalan Kota, 34000, Taiping, Perak,” dedahnya di dalam satu sidang media di sini, hari ini.




Bongkarnya lagi, syarikat tersebut ditubuhkan pada 26 Julai 2018 iaitu selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu manakala mesyuarat yang meluluskan tanah tersebut kepada NJ Development Sdn Bhd ialah mesyuarat Jawatankuasa Sumber Hasil Hutan Negeri Perak Bil 2/2018 pada 21 November 2018.

“Maka, pihak PH khususnya Dap jangan tuding jari kepada Barisan Nasional (BN) sebab sekali menuding jari kepada orang lain, empat jari kembali diri sendiri.

“Tak boleh tipu rakyat seolah-olah ini berlaku ketika BN menjadi kerajaan. Maka, jawab dengan lidah yang fasih apa sudah jadi.

“Sebelum ini PH berjanji akan melaksanakan sistem tender terbuka yang kononya lebih telus serta adil dalam kawasan pembalakan. Jika benar ini dilaksanakan kerajaan negeri sepatutnya tidak perlu khuatir untuk mendedahkan senarai nama mereka yang diberikan kawasan pembalakan,” tambahnya.

Saarani yang juga Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak turut menimbulkan persoalan apa sudah jadi dengan pemantauan dan penguatkuasaan yang sering dilaung-laungkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) Perak.

“Apa sudah jadi pemantauan dan penguatkuasaan yang sering dilaung-laungkan oleh kerajaan negeri sehingga kawasan hutan bukit Kledang yang terletak di tengah-tengah bandaraya Ipoh boleh diceroboh secara terbuka.

“Kawasan Ipoh ini kebanyakan wakil rakyatnya adalah dari kerajaan, hampir semua diwakili oleh Dap termasuklah Ahli Parlimen Batu Gajah, Ipoh Timur dan Ipoh Barat.

“Kawasan yang diceroboh itu tidak pula terpandang oleh ahli-ahli Parlimen dan ADUN-ADUN dari kerajaan PH,” sinisnya lagi.

Manakala persoalan ketiga yang dilontarnya, adakah terdapat lagi syarikat-syarikat bermodalkan RM2 yang lain yang diberikan tanah-tanah kerajaan.

“Jika ada sila dedahkan mana syarikat itu dan siapa empunya syarikat itu,” tegasnya.

Saarani yang juga ADUN Kota Tampan pada awalnya juga berkata pencerobohan hutan secara berleluasa dan pemberian ribuan ekar tanah hutan simpan kepada syarikat-syarikat tertentu membuktikan ada sesuatu yang tidak kena sedang berlaku dalam pentadbiran kerajaan negeri perak sekarang ini.

“Perkembangan ini amat menakutkan, lebih-lebih lagi ia bukan sahaja didedahkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO), tetapi semalam ia juga telah didedahkan oleh seorang daripada pimpinan PH sendiri yang sudah tentunya dia juga mempunyai akses dan maklumat dari dalam kerajaan.

“Perkembangan ini menimbulkan persoalan, apa sudah jadi dengan janji kerajaan PH Perak untuk memelihara khazanah alam sekitar seperti yang digariskan dalam manifesto pilihan raya mereka,” ujarnya.

Surat yang bertarikh 14 Disember 2018 tersebut menyatakan kelulusan permit penggunaan bagi tujuan projek pembangunan ladang hutan dalam Hutan Simpan Kledang Saiong dan Hutan Simpan Bukit Kinta Daerah Hutan Kinta Manjung.

Semalam, Ahli Parlimen Kampar Thomas Su Keong Siong dan Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu tersebut.

Justeru katanya, UMNO Perak menggesa agar pihak berkuasa seperti SPRM menyiasat dakwaan serius ini secara telus.

“Ini adalah satu ujian bagi pihak berkuasa bagi membuktikan prinsip ‘Rule of Law’ seperti yang dilaung-laungkan oleh kerajaan PH bukan sekadar retorik politik,” tegasnya lagi.


0 comments:

share2