Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, January 18, 2019

PENAMAAN CALON PRK SEMENYIH 16 FEB, MENGUNDI 2 MAC



Putrajaya, 18.1.2019: Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Azhar Azizan Harun berkata Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih akan diadakan pada 2 Mac depan.


Beliau berkata hari penamaan calon PRK itu pula ditetapkan pada 16 Feb, manakala hari mengundi awal pada 26 Feb.


“Tempoh berkempen yang ditetapkan adalah 14 hari bermula selepas penamaan calon sehingga pukul 11.59 malam, 1 Mac 2019,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mengenai urusan PRK tersebut  hari ini.


Azhar berkata daftar pemilih yang akan digunakan untuk PRK itu adalah sehingga suku ketiga 2018 yang akan mula dijual pada 12 Feb.


Katanya daftar pemilih itu mengandungi 54,503 orang pemilih berdaftar, terdiri daripada 53,520 pengundi biasa, 951 pengundi awal dan 32 orang pengundi tidak hadir luar negara.
Azhar berkata SPR menyasarkan 70 peratus pengundi akan keluar mengundi pada PRK DUN Semenyih.


Bagi menjalankan proses pilihan raya kecil ini, katanya, SPR bersetuju melantik Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang, Datuk Mohd Sayuthi Bakar sebagai pegawai pengurus pilihan raya serta 992 petugas pilihan raya.


Beliau berkata SPR akan menggunakan Dewan Seri Cempaka Majlis Perbandaran Kajang di Saujana Impian sebagai pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan rasmi undi.


Selain itu, katanya, sebuah pusat mengundi baharu diwujudkan menjadikan keseluruhan 26 buah pusat mengundi pada PRK itu serta menambah 31 saluran baharu bagi mengelakkan jumlah pengundi terlalu ramai di satu-satu saluran menjadikan keseluruhan 119 saluran.


“PRK ini dianggarkan memerlukan peruntukan sebanyak RM1.8 juta,” katanya.


Seperti mana yang dilaksanakan pada PRK Parlimen Cameron Highlands, Azhar berkata SPR akan turut menyiarkan proses PRK DUN Semenyih secara langsung di laman Facebook SPR, antaranya proses penamaan calon, pengundian awal, semakan isi peti undi, pengundian, pengiraan undi dan pengumuman keputusan pilihan raya.


PRK DUN Semenyih adalah PRK keenam diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke -14 (PRU14) dengan yang pertama diadakan di DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos, DUN Balakong dan DUN Seri Setia (8 Sept), Parlimen Port Dickson (13 Okt) dan Parlimen Cameron Highlands (26 Jan).
PRK DUN Semenyih diadakan berikutan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor, pada 11 Jan lepas akibat serangan jantung.

Sumber.


0 comments:

share2