Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, December 4, 2018

[KUANTAN] PAHANG SKILLS CEBURI INDUSTRI SAWIT



Skill




Kemampuan Institut Pengajian Tinggi menjana pendapatan sendiri untuk menampung 30 peratus kos operasi masing-masing dilihat dapat mengurangkan perbelanjaan mengurus kerajaan.

Atas kesedaran itu, Pahang Skills akan menceburi bidang perladangan dan hartanah yang julung kali diadakan bagi membina acuan sendiri dalam menjana pendapatan.

Pengarah Eksekutif Pahang Skills, Suris Mihat berkata pihaknya menjangkakan sebanyak kira-kira RM60 juta pendapatan tahunan dalam tempoh 15 tahun akan datang melalui aktiviti perladangan kelapa sawit.

Menurutnya, ini merupakan inisiatif Pahang Skills bagi memperkasa sumber pendapatan yang ketika ini hanya bergantung kepada sumber hasil latihan akademik dan kemahiran di samping kemudahan sewaan fasiliti.

"Kita memilih kelapa sawit kerana salah satu rakan strategik kita, Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PPKP) mempunyai kepakaran dalam bidang kelapa sawit di samping perladangan kelapa sawit pelopor utama di negeri ini dan mendapat keuntungan yang lebih tinggi berbanding getah.

"Kita mempunyai tanah seluas 818.60 ekar di Sungai Charu bagi tujuan pertanian kelapa sawit dan kini kita sedang menunggu Sijil Pembebasan Hutan daripada pejabat hutan negeri untuk membuat pembersihan tanah," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media ketika ditemui pada Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Pahang Skills dan Rakan-Rakan Strategik di Dewan Utama Pahang Skills di sini, semalam.

Turut hadir sama, Exco Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang, Dato' Sri Mohd Johari Hussain.

Suris berkata pihaknya menyasarkan perladangan tersebut akan bermula pada tahun hadapan yang diharap mampu mendatangkan hasil lumayan yang mampu digunakan Pahang Skills demi pembangunan para pelajar.

Di samping itu, menurutnya, sebanyak 11 rakan strategik telah menandatangani MoU yang terdiri daripada kerajaan negeri, agensi-agensi kerajaan, syarikat industri dan syarikat swasta.

Tambahnya, ini mampu memantapkan Pahang Skills sebagai sebuah organisasi latihan kemahiran yang menawarkan pelbagai bidang kemahiran latihan teknikal dan professional yang relevan dengan industri masa kini.

"Ini juga merupakan satu proses kerjasama inovasi Pahang Skills di dalam operasinya dan secara tidak langsung dapat memperkasakan bisnes di institusi ini.

"Kita juga secara tidak langsung mampu meningkatkan kualiti serta mutu penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan-pelanggan kami,"katanya.


0 comments:

share2