Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, November 14, 2018

MUZIUM TENUN PAHANG DIRAJA DIBUKA TAHUN DEPAN


Muzium Tenun Pahang Diraja dibuka tahun depan



Bagi mempamerkan sejarah dan perkembangan seni Tenun Pahang Diraja, satu muzium khas akan dibuka di Kuantan pada tahun hadapan.

Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandar bertitah, lokasi muzium itu sudah dikenal pasti dan kerja menaik taraf bangunan sedang dilakukan.

“Bangunan di sebelah Muzium Seni itu dijangka siap tidak lama lagi. Kebanyakan hasil Tenun Pahang Diraja akan dipamerkan di galeri khas di Muzium Sultan Abu Bakar di sini (Pekan), sementara menunggu kerja naik taraf muzium khas itu siap.

“Saya percaya seni penghasilan Tenun Pahang Diraja ini mempunyai peminat yang ramai dan ia adalah seni yang menjadi kebanggaan rakyat di negeri ini,” titahnya.

Baginda bertitah demikian kepada media selepas berkenan merasmikan Pameran Tradisi Berfesyen-Tenun Pahang Diraja yang turut dihadiri Pengerusi Perbadanan Muzium Pahang, Dato' Sri Mohd Sharkar Shamsuddin dan Pengarah Muzium Pahang, Dato' Ahmad Farid Abdul Jalal di Muzium Sultan Abu Bakar, semalam.

Dalam pada itu, baginda bertitah, muzium khas itu adalah untuk meningkatkan penghargaan generasi muda terhadap seni warisan Pahang sangat dikenali dengan pembuatannya yang halus dan sangat cantik.

“Ini kerana nilai eksklusif Tenun Pahang Diraja perlu dipertahankan dan belum boleh dieksport. Memang ramai yang berminat (Tenun Pahang Diraja), tiap kali saya ke luar negara ada saja bertanya dan menyatakan minat mereka. Kita masih belum bersedia untuk menghasilkannya secara komersial.

“Kita kena jaga kualiti dan nilai seni dalam penghasilannya perlu dilakukan dengan teliti serta cermat. Kita ada institut Tenun Pahang Diraja yang beroperasi sejak tahun 2005 dan kalau boleh saya mahu ramai lagi generasi muda mempelajari seni Tenun Pahang Diraja ini,” titahnya.

Tunku Azizah bertitah, selain itu, Jabatan Penjara Malaysia juga banyak membantu antaranya Penjara Penor dan Penjara Bentong melatih banduan dalam penghasilan Tenun Pahang Diraja yang berkualiti.


0 comments:

share2