Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, July 15, 2018

[KUANTAN] BERHENTI MENGKRITIK



Ketua Umno Bahagian Indera Mahkota, Datuk Mustaffar Kamal Abdul Hamid



Ahli Umno diminta berhenti mengkritik dan mencari kesalahan sebaliknya bersama-sama akar umbi memastikan kestabilan dan kekuatan dalaman Umno terus terbina.

Ketua Umno Bahagian Indera Mahkota, Datuk Mustaffar Kamal Abdul Hamid berkata, adalah lebih baik ahli Umno terutama yang mempunyai jawatan tinggi dalam parti memberi pandangan membina sahaja daripada berterusan mencari kesalahan.

Menurutnya sikap suka mengkritik bukan sahaja merugikan parti bahkan hanya mempamerkan kelemahan sesama ahli di mata orang luar yang sememangnya memusuhi Umno dan BN.

“Jangan jadikan kekalahan Umno pada PRU14 sebagai tiket menghentam usaha kawan-kawan yang lain di dalam parti. Usaha menubuhkan tabung kepada bekas presiden Datuk Seri Najib contohnya, membuktikan Umno masih bersatu, ada kekuatan dan menghormati bekas pemimpin kita. Lagipun Datuk Seri (Najib) masih belum dibuktikan bersalah.

“Apa yang dibuat oleh Umno sejak pemilihan parti yang lalu adalah membawa kepada perubahan. Kita perlukan semangat baharu. Ada percampuran dengan yang lama dan baru dalam pentadbiran terkini.

“Beri peluang dan masa kepada kepimpinan baharu untuk melaksanakan reformasi di dalam Umno,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Bekas Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin yang menyatakan kekesalannya terhadap Umno secara terbuka menerusi Twitter, baru-baru ini.

Ahli Parlimen Rembau itu mempersoalkan tindakan Umno yang didakwa hanya memainkan sentimen perkauman berbanding menumpukan isu lain yang lebih besar seperti ekonomi dan sosial.


0 comments:

share2