Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, July 16, 2018

PEJUANG BAHASA MELAYU SEPAKAT BANTAH IKTIRAF UEC



Pejuang Bahasa Melayu Sepakat Bantah Iktiraf UEC



Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berhadapan dengan tekanan yang semakin kuat mendesak membatalkan keputusan mengiktiraf sijil sekolah swasta Cina, Sijil Pendidikan Bersepadu (UEC) sebagai syarat memasuki universiti.

UEC dikeluarkan oleh sekolah menengah persendirian Cina berdasarkan sukatan pelajaran Taiwan dan menolak kepentingan bahasa Melayu.

Tokoh-tokoh bahasa terdiri daripada akademik dan sasterawan sepakat membantah keputusan yang dikritik sebagai mengkhianati bahasa Melayu dan membelakangi sistem pendidikan negara itu.

Terbaharu, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) memberi masa tujuh hari kepada Maszlee untuk mengubah pendirian dalam isu UEC.

Ketua eksekutif Mapim, Mohd Zai Mustafa berkata, pendirian berhubung isu itu perlu ditentukan sekiranya beliau tidak mahu berhadapan dengan kebangkitan himpunan besar-besaran bantahan daripada rakyat Malaysia.

“Kami memberi amaran, sekiranya Menteri masih tetap membisu serta berdegil bagi mempertahankan pendirian beliau untuk mengiktiraf UEC, mungkin beliau adalah menteri yang pertama dalam kerajaan Pakatan Harapan yang akan menghadapi gelombang bantahan kebangkitan daripada rakyat di Kementerian Pendidikan, Putrajaya,” katanya dalam satu kenyataan.

Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena), Dr Mohamad Saleeh Rahamad berkata sistem pendidikan sekolah swasta Cina mengabaikan nilai penting bahasa Melayu sebagai nilai bersama yang menyatukan rakyat sebuah negara bangsa.

Mohamad Saleeh mengkritik taraf bahasa Melayu yang rendah dalam UEC manakala subjek lain diajar dalam bahasa Cina.

“Bayangkan sekiranya UEC diterima, kelak tidak mustahil akan timbul tuntutan daripada kaum lain untuk sijil daripada sekolah vernakular mereka diterima. UEC dikeluarkan oleh Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) yang mengikut sukatan pelajaran dari Taiwan.

“Apa akan jadi sekiranya nanti berkembang pula Sekolah Menengah Persendirian Tamil, Iban, Punjabi bagi mengangkat agenda kaum masing-masing, dan akhirnya negara bangsa yang diimpikan Malaysia akan hancur,” katanya dalam satu kenyataan media.

Felo Utama Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr. Teo Kok Seong pula berpendapat pengiktirafan UEC boleh menyebabkan kecelaruan dan menyebabkan sistem pendidikan kebangsaan tidak dipandang sebagai keutamaan.

Pengiktirafan UEC katanya boleh menyebabkan sistem pendidikan yang asing lebih menjadi pilihan berbanding sistem pendidikan kebangsaan yang berasaskan identiti kebangsaan.

“Kerajaan perlu menilai dari segi kemanusiaan. Ia seperti ung­kapan ‘kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan’. Ini mungkin merugikan kepada mereka yang mengikut sistem persekolahan aliran utama,” katanya seperti dilapor media.

“Ini akan membuatkan mereka menilai semula keperluan untuk mengikuti aliran utama, setelah menyedari UEC akan turut mendapat faedah yang sama. Oleh itu, ini boleh memberi implikasi terhadap perpaduan nasional,” tegasnya.

Profesor Pengajian Dunia Melayu, Institut Antarabangsa Tamadun Islam dan Dunia Melayu, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Datuk Dr Awang Sariyan pula berkata tidak ada sebab untuk UEC, satu sijil yang dikeluarkan pihak swasta pendidikan Cina diiktiraf.

“Kita sudah mempunyai satu sistem pendidikan kebangsaan yang telah diiktiraf, itu yang harus digunapakai sebagai sijil rasmi dalam sektor pendidikan negara,” tegasnya.

“Jadi, mengapa pula kita mahu mengiktiraf sijil persendirian untuk dijadikan sijil utama,” soalnya.

Beliau juga kesal dengan sikap “flip-flop” menteri pendidikan yang mendakwa akan melaksanakan kajian terlebih dahulu tetapi beberapa hari kemudian berkata akan mengiktiraf UEC sebagai kelayakan memasuki universiti.

Semalam Awang bersama Gabungan Mua­fakat Bahasa dan Pendidikan Kebangsaan mengadakan satu pertemuan dengan Maszlee di Putrajaya melibatkan isu rancangan kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengiktiraf UEC sebagai kelayakan memasuki universiti.

Tentangan pengiktirafan UEC ini ialah antara tentangan paling kuat dihadapi oleh kerajaan baharu sejak berkuasa dua bulan lalu.

Selain tokoh bahasa dan budaya, pendirian Maszlee ini turut ditentang dan dikecam oleh banyak pihak dalam gabungan PH sendiri.


0 comments:

share2