Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, May 1, 2018

PVATM BELA VETERAN TENTERA



PVATM bela veteran tentera



Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) akan terus memperjuangkan membela kebajikan dan sosio-ekonomi veteran dan keluarga sepanjang masa.

Presiden PVATM, Senator Laksamana Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor (B) berkata, pihaknya akan membawa empat isu penting iaitu, pelarasan pencen; jangka masa pemberian pencen kepada isteri yang dikahwini dalam masa persaraan dari 20 ke 50 tahun; pembelaan terhadap rakan yang diberhentikan kerana masalah disiplin serta menambah kuota pembinaan dan penyelenggaraan rumah.

Menurutnya, pelarasan pencen bertujuan merapatkan jurang perbezaan pencen antara bekas tentera terdahulu dengan sekarang, seiring taraf hidup dan nilai kewangan masa kini.

“Kerajaan pada 3 April lalu mengumumkan kenaikan pencen dua peratus kepada tiga peratus dan kuota haji khas untuk pesara. Walaupun perkara tersebut meluaskan lagi jurang perbezaan pencen antara orang lama dengan orang baru, namun kita bersyukur atas apa diberi kerajaan.

“Begitu juga dengan perkara untuk menambah kuota pembinaan dan penyelenggaraan rumah.

“Memandangkan terdapat lebih 1,000 ahli yang memohon kuota ini setiap tahun, maka kita mohon peruntukan 100 setiap tahun dinaikkan kepada 500 kuota.

“Ini supaya tempoh menunggu sehingga 10 tahun itu dapat diselesaikan dalam tempoh kurang dua tahun sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Jejak Veteran ATM dan Majlis Penyampaian Sumbangan Veteran Kurang Upaya, Balu Orang Kurang Upaya dan Anak Veteran Orang Kurang Upaya di dewan Pejabat Agama Islam Daerah, Bandar Jengka, hari ini.

Justeru katanya, dalam usaha menjayakan perjuangan tersebut ahli PVATM perlu bekerjasama mewujudkan kesatuan yang kuat, bersatu dan berhemah agar disegani dan dihormati.

“Dalam masa sama, ahli perlu mengekalkan profil veteran ATM sebagai seorang yang budiman dan gentleman dalam aspek disiplin, kelakuan dan keterampilan kerana ahli telah dilatih dengan sikap sedemikian semasa berkhidmat dalam angkatan tentera.

“Hanya veteran yang mengenali veteran... ungkapan tersebut berjaya membuat kita mengenal pasti isu sejagat yang dihadapi veteran dan perlu diselesaikan oleh kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, selain pemberian khas RM1,200 dan RM600 di bawah Skim Bantuan Bakti Negara, PVATM telah memohon setiap veteran tidak berpencen diberikan elaun sara hidup bulanan secara automatik sebanyak RM500 apabila mereka mencapai umur 60 tahun.

Pada masa sama, PVATM akan terus membela veteran OKU yang cedera semasa melakukan operasi dan latihan medan era darurat di mana mereka menerima pencen hilang upaya tidak setimpal kecederaan seumur hidup.


0 comments:

share2