Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, May 1, 2018

JAMBATAN GUAI BERA SIAP 2020



Jambatan Guai Bera siap 2020



Lebih 2,000 penduduk Kampung Seberang Guai dan kampung berdekatan bakal menikmati sistem jaringan yang sempurna apabila projek pembinaan jambatan merentasi Sungai Pahang ke Kampung Guai dijangka siap pada 10 Februari 2020.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob berkata, jambatan sepanjang 770 meter ini turut melibatkan pembinaan jalan sepanjang 0.79 kilometer (km) dengan lebar jalan berturap 6.5 meter.

Menurutnya, projek bernilai RM98.5juta ini juga semestinya dapat memendekkan tempoh perjalanan penduduk Kampung Guai serta Kampung Seberang Guai dan kampung sekitar daerah Bera.

“Projek ini telah bermula pada Ogos tahun lepas, dan setakat ini sebanyak 14.83 peratus telah siap dan ia dijangka dapat siap mengikut jadual.

“Sekarang, kalau dari Kampung Guai ke Pusat Bandar Bera mengambil masa 1 jam 20 minit, tetapi apabila jambatan ini siap nanti, perjalanan hanya mengambil masa 20 minit sahaja dalam jarak yang sama,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Projek Pembinaan Jambatan Merentasi Sungai Pahang, di Kampung Seberang Guai, semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) KKLW, Datuk Azizan Mohamad Sidin dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Desa Lestari Seberang Guai, Safie Yahya.

Katanya, pembinaan jambatan ini semestinya akan memudahkan lagi urusan penduduk di sekitar Kampung Guai, Charuk Puting dan Batu Bor ke pusat pentadbiran daerah Bera, tanpa perlu melalui jalan yang jauh.

Sebaliknya, Ismail Sabri berkata, dengan hanya menggunakan jambatan itu, mereka dapat menjimatkan masa malah merapatkan perhubungan antara kedua-dua kampung yang dipisahkan Sungai Pahang ini.

“Di samping itu, melalui pembinaan jambatan ini, saya percaya ia akan membantu meningkatkan taraf sosio-ekonomi dan gaya hidup penduduk setempat.

“Kegiatan ekonomi akan lebih rancak, bukan sahaja di perkampungan sekitar Kampung Sebarang Guai dan Kampung Guai, tetapi limpahan kerancakan ekonomi itu akan dapat dinikmati rakyat Bera juga,” katanya.


0 comments:

share2